Berita Menarik

Pengarah SSDU didakwa salah guna kuasa lantik syarikat saudara

SHAH ALAM – Seorang Pengarah Pembangunan Perniagaan Selangor Smart Delivery Unit (SSDU) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan salah guna kuasa dalam pelantikan syarikat milik saudaranya bagi projek perisian bernilai lebih RM1.7 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mazlan Mahadi, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bapa kepada dua anak itu didakwa sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan SSDU telah me menggunakan jawatannya untuk mencadangkan lantikan terus dibuat kepada syarikat milik saudara wanitanya, MMSC Ventures Sdn. Bhd.

Lantikan itu bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy And Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM 1,797,865.58 dan kesalahan itu dilakukan tertuduh di pejabatnya pada 25 Mac 2020.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM100,000 dengan penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan.

Bagaimanapun, Peguam Dato K. Kumaraendran memohon jaminan RM20,000 memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan sebelum ini.

Mahkamah menetapkan jaminan RM80,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes pada 30 September depan. -KOSMO! ONLINE


Hit : 2649