Berita Menarik

Pemilik syarikat, eksekutif kanan direman kes tuntutan palsu

GEORGETOWN - Seorang pemilik syarikat penyediaan latihan dan eksekutif kanan sebuah syarikat direman empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM41,442.

Suspek yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tiba di Kompleks Mahkamah Georgetown kira-kira jam 10.30 pagi untuk mendapatkan perintah tersebut.

Perintah tahanan reman terhadap kedua-duanya dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas Pegawai Penyiasat SPRM, Rashid Ambi membuat permohonan di Mahkamah Majistret di sini.

Suspek lelaki yang berusia 56 tahun dan suspek wanita berusia 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM40,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek terbabit ditahan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira jam 4.30 petang pada Jumaat ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek wanita yang merupakan eksekutif kanan sebuah syarikat dan suspek lelaki iaitu pemilik syarikat penyediaan latihan dipercayai terlibat dalam kesalahan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan lima penganjuran latihan perisian komputer bernilai lebih RM40,000 pada 2021 sedangkan penganjuran latihan terbabit tidak dilaksanakan.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala hanya suspek wanita diwakili peguam, K Mahendran.


Hit : 2293