Kolumnis@SPRM

Mengukur rasuah berlandaskan bukti berbanding persepsi

Oleh
Enrico Bisogno
Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC)


Perbahasan sama ada tinjauan berasaskan persepsi bagi mengukur tahap rasuah dalam masyarakat adalah suatu indeks yang tepat, telah menimbulkan persoalan dan mendedahkan beberapa kelemahan terhadap tinjauan yang sedemikian.

Ketua Bahagian Data dan Statistik, Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Enrico Bisogno tampil menjelaskan isu berkenaan dan mengemukakan hujah mengapa badan tersebut lebih menyokong kaedah berasaskan pengalaman atau bukti untuk mengukur rasuah.

Tuan Bisogno, kaedah untuk mengenal pasti tahap rasuah adalah sesuatu yang kompleks. Apakah perspektif yang diterima pakai oleh agensi anda dalam mengukur rasuah?

Setiap kali kita mengukur fenomena sosial seperti rasuah, kita perlu tahu tentang objektif pengukuran tersebut kerana sememangnya tiada pendekatan yang neutral.

Adakah objektifnya untuk meningkatkan kesedaran atau mempertahankan sesuatu? Jika objektifnya hanya untuk meningkatkan kesedaran dan menarik perhatian, tinjauan yang berdasarkan syarat-syarat yang tidak begitu ketat adalah memadai.

Tetapi, jika objektifnya adalah untuk benar-benar memahami skop dan corak rasuah dalam masyarakat serta mencari jalan untuk membangunkan dasar dan langkah penyelesaian, maka cara atau metod yang terbaik harus digunakan.

Apa yang kami sasarkan di UNODC adalah untuk memahami masalah sebenar. Sebagai contoh, apakah jenis rasuah yang melibatkan populasi umum, di sektor awam, dan di sektor swasta?

Selain itu, adalah penting bahawa metrik yang digunakan adalah berorientasikan tindakan. Dalam hal ini, maklumat yang dijana oleh metrik itu boleh membantu kita melaksanakan tindakan dalam waktu yang paling sesuai. Objektif pemilihan kaedah pengukuran atau kaedah tinjauan yang kami lakukan adalah bertujuan untuk menilai dan bertindak proaktif dalam isu ini.

Dalam sejarah pengukuran rasuah, kepentingan telah diberikan kepada petunjuk berdasarkan persepsi, apa pendapat anda tentang perkara ini?

Jika kita ingin mengetahui keadaan sebenar dalam sesebuah negara atau sektor, kita perlu mempunyai instrumen yang boleh dipercayai. Sebagai contoh, hari ini cuaca sangat panas di Eropah, tetapi jika kita bertanya kepada orang yang lebih tua atau orang yang lebih muda tentang suhu atau tahap kepanasan hari itu, kita mungkin mendapat jawapan yang sangat berbeza.

Orang yang lebih tua mungkin akan lebih terasa terik dengan cuaca panas daripada orang muda dalam cuaca yang sama. Adalah penting untuk mengetahui persepsi orang yang lebih tua atau yang lebih muda, jadi kita boleh membuat keputusan untuk melakukan sesuatu tindakan untuk masing-masing.

Walau bagaimanapun, ini berbeza daripada mengetahui suhu sebenar di bandar, negara atau masa berdasarkan apa yang diberikan sahaja. Begitu juga dalam rasuah, jika anda bertanya soalan hanya kepada kumpulan orang tertentu, contohnya sektor tertentu, atau hanya kepada golongan peniaga, atau pakar, apakah persepsi mereka tentang rasuah, sudah tentu anda akan mendapat jawapan yang berbeza.

Terdapat banyak kajian dan penulisan mengenai perkara ini. Hakikatnya, persepsi dipengaruhi oleh faktor yang berbeza, contohnya, kecenderungan masyarakat, keadaan politik semasa, perdebatan awam dan media. Walaupun menarik untuk mengetahui persepsi umum, namun ia berbeza daripada mengukur sejauh mana dan skop sebenar rasuah dalam negara.

Apakah faedah data berasaskan pengalaman tentang rasuah?

Apabila mengukur rasuah melalui indikator berasaskan pengalaman dan bukti, kami menghasilkan metrik berdasarkan metodologi yang kukuh.

Maklumlah, sukar untuk kita mengukur rasuah kerana ia adalah fenomena tersembunyi dan mereka yang melakukan rasuah biasanya tidak mempunyai insentif untuk membocorkan atau melaporkan kepada pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, dengan menggunakan teknik tertentu, termasuk yang memastikan kerahsiaan responden, data yang tepat boleh dihasilkan yang boleh dibandingkan dengan data negara-negara lain. Kita juga boleh memperoleh data yang boleh dibandingkan dari semasa ke semasa dan mengetahui bila berlakunya peningkatan atau penurunan tahap rasuah.

Selain itu, terdapat banyak perkara yang boleh kita peroleh daripada data yang dijanakan daripada tinjauan berlandaskan bukti. Kita boleh memahami sektor mana yang lebih terkesan dengan rasuah; jika mereka yang terjejas adalah lelaki atau wanita, sebagai pembayar atau penerima rasuah, dan jika mereka adalah penjawat awam atau bukan, dan apakah kelakuan mereka yang berbeza apabila mereka terlibat dalam rasuah.

Berdasarkan tinjauan skala besar dalam populasi umum atau sektor tertentu, metrik yang berkualiti dan terbuka boleh dihasilkan. Oleh itu, metodologi yang sama boleh direplikasi oleh peninjau lain.

Berbeza dengan indeks berasaskan persepsi, tinjauan dan indeks berasaskan bukti tidak dihasilkan oleh satu kumpulan atau organisasi tertentu melalui kaedah yang sangat subjektif dan selalunya tidak telus, di mana hanya suatu skor atau ranking dikeluarkan.

Di peringkat global, apakah yang dilakukan oleh pihak Tuan dalam memberi sokongan kepada negara- negara yang ingin mengukur tahap rasuah di negara mereka?

UNODC telah memberikan bantuan kepada sekitar 20 negara di seluruh dunia. Antara bantuan yang diberikan adalah nasihat teknikal, bengkel untuk melatih cara menjalankan tinjauan sedemikian dan memberikan sokongan kewangan dan penyeliaan teknikal.

Selain itu, kami telah mengadakan beberapa bengkel latihan di peringkat serantau, termasuk berkaitan rangka kerja pemantauan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals).

Hit : 5362