Berita Menarik

Penolong Pegawai Pendidikan tidak mengaku terima rasuah

SEREMBAN: Seorang Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM2,000 berhubung kelulusan tuntutan pengawal keselamatan di sekolah, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Fauzi Abdul, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Fauzi sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson secara rasuah bersetuju menerima satu suapan iaitu wang tunai RM2,000 daripada seorang individu untuk meluluskan tuntutan tugas pengawal keselamatan bulan Oktober 2017 di sekolah-sekolah dalam daerah Port Dickson.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Lukut, Port Dickson pada 16 November 2017.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Terdahulu, Hanif bersetuju dengan jumlah jaminan RM5,000 beserta seorang penjamin yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada anak guamnya dan syarat tambahan melapor diri di Pejabat SPRM Port Dickson.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Port Dickson sekali sebulan iaitu pada atau sebelum 7 haribulan.

Kes akan disebut semula 30 Ogos depan.

Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 2149