Berita Menarik

Pengarah didenda RM85,000 kerana seleweng dana MITRA

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah institusi kewangan didenda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berhubung penyelewengan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Tertuduh, S Vijaya Kumar S Sinnakannu, 47, dikenakan denda itu selepas mengaku bersalah sebaik tuduhan pilihan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Suzana turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu baucar bayaran bernilai RM75,000 yang mana beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Unit MITRA Kementerian Perpaduan Negara, Aras 6, Blok F9, Kompleks F, Lebuh Perdana Timur A, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 2 Julai lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 465 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kalaivani Annadorai, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.


Hit : 1959