Berita Menarik

37 individu ditahan, kes tuntutan palsu RM100 juta

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menahan reman seramai 37 individu bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Sumber berkata, kesemua suspek membabitkan 26 lelaki dan 11 wanita ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, Selangor, Johor, Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Di Putrajaya, seramai 11 individu direman selama empat hari mulai hari ini sehingga 17 Julai 2022.

"Di Selangor pula, permohonan reman selama tiga hari dibenarkan terhadap lima individu mulai hari ini sehingga 16 Julai 2022.

"Di Johor, perintah reman selama tujuh hari terhadap seorang suspek dan enam hari terhadap dua suspek dibenarkan mulai hari ini sehingga 19 dan 20 Julai 2022," katanya.

Sementara itu, di Kedah, Pahang dan Perak pula, perintah reman selama tujuh hari sehingga 20 Julai ini dibenarkan terhadap seorang individu di Kedah dan masing-masing dua orang individu di Pahang dan Perak.

"Di Pulau Pinang, perintah reman selama enam hari dibenarkan terhadap dua suspek mulai hari ini sehingga 19 Julai ini.

"Sementara itu, perintah reman selama lima hari dikeluarkan terhadap dua individu masing-masing di Melaka dan Perlis, tiga individu di Kuala Lumpur dan empat individu di Negeri Sembilan mulai hari ini sehingga 18 Julai ini.

"Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 70 tahun terdiri daripada pemilik, pengarah, pengurus dan pemilik saham syarikat serta jurutera dan kakitangan eksekutif tersebut ditahan dalam 'Ops Hire' yang dilancarkan di seluruh negara semalam dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), " katanya.

Setakat ini, operasi yang dijalankan utu melibatkan 66 syarikat dengan nilai akaun dibekukan melebihi RM7 juta daripada 36 akaun.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambahnya, beberapa tangkapan akan dibuat lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sumber : Harian Metro

Hit : 2144