Kes-kes Menarik

Suami isteri direman bantu siasatan tuntutan palsu RM1.18 juta

AYER KEROH: Sepasang suami isteri direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai membuat tuntutan palsu sebanyak RM1.18 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sejak dua tahun lalu.

Penahanan reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia 54 dan 49 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Kesalahan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan Majistret Mahkamah Melaka, Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Menurut jurucakap SPRM Melaka, pasangan itu ditahan pada jam 5 petang semalam di pejabat SPRM Melaka di Alai selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso berjumlah RM1,182,600.

Kesalahan berkenaan dilakukan antara tahun 2020 sehingga tahun ini yang melibatkan syarikat milik mereka berdua.

Semalam, media melaporkan, SPRM dan Perkeso melancarkan 'op hire', bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan Dana Insentif Program Penjana Kerjaya di beberapa negeri.

SPRM dalam kenyataannya memaklumkan operasi besar-besaran itu, dikendalikan oleh ibu pejabat SPRM bersama SPRM negeri.

Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja, semasa mendepani cabaran COVID-19 bermula awal tahun 2020.

Sumber : Astro Awani


Hit : 705