Berita Menarik

Bekas pemain badminton negara didakwa menipu

Shah Alam: Pemenang pingat gangsa badminton Sukan Asia Doha 2006 dan Sukan Sea Korat 2007 didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menipu seorang lelaki berjumlah RM58,029 untuk tujuan pertaruhan dalam talian dan pelaburan tidak wujud, enam tahun lalu.

Tertuduh Lin Woon Fui, 39, yang pernah bergandingan bersama Gan Teik Chai dan Fairuzizuan Tazari bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Woon Fui didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 39 tahun sebanyak RM28,029 dengan mempercayainya akan melipatgandakan wang menerusi pertaruhan dalam talian.

Naib juara Terbuka Malaysia 2006 itu juga menipu lelaki sama sebanyak RM30,000 untuk pelaburan saham tidak wujud.

Kesemua wang berkenaan dipindahkan ke dalam akaun bank tempatan milik tertuduh dan isterinya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Setia Alam, Seksyen U13 di sini antara 6 Jun hingga 29 November 2016.

Woon Fui melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan bersama seorang penjamin bersama syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM pada awal setiap bulan.

Peguam B Chandrateeban memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan susulan anak guamnnya adalah penanggung utama keluarga.

Mahkamah menetapkan jaminan RM17,000 bersama penjamin dan membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes pada 17 Ogos depan.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1873