Kes-kes Menarik

Kontraktor kemuka dokumen palsu didenda RM80,000

ALOR SETAR: Seorang kontraktor didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi memenangi tender pembersihan daripada sebuah syarikat swasta, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Suhaimi Mohd., 47, dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Selain Suhaimi, dua lagi kontraktor iaitu Arman Yani Anuar, 51, dan Shafizawati Shafiee, 48, didenda RM45,000 setiap seorang sebaik mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tujuan sama.

Suhaimi dalam pertuduhan pertama didakwa menggunakan penyata akaun Maybank Islamic palsu milik syarikat Bumi Emas Prestige Sdn. Bhd. bagi bulan Oktober hingga Disember 2019 sebagai dokumen tulen.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengemukakan penyata akaun Affin Bank Berhad palsu milik syarikat Cahaya Ventures Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 sebagai dokumen tulen.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Idaman, Environment Idaman Kedah dan Perlis di sini pada 19 Januari 2019.

Hakim menetapkan denda sebanyak RM40,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi Suhaimi. Sementara itu bagi tertuduh kedua dan ketiga, mereka dijatuhkan hukuman sebanyak RM45,000 setiap seorang selepas masing-masing berdepan dengan satu pertuduhan.

Hakim turut memerintahkan kesemua mereka dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan dihadapi, namun ketiga-tiga mereka membayar denda dikenakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Arman Yani didakwa dengan curangnya mengemukakan penyata akaun palsu Bank CIMB milik Syarikat Perniagaan Nafas Abadi bagi bulan Oktober hingga 2019 sebagai dokumen tulen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Idaman, Environment Idaman Kedah dan Perlis di siniantara 15 Januari hingga 17 Januari 2019.

Shafizawati pula didakwa menggunakan penyata Bank CIMB palsu milik Syarikat ADF Teguh Sdn. Bhd. sebagai dokumen tulen. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara 14 Januari hingga 20 Januari 2019.

Kesemua mereka dikatakan memiliki sebab untuk mempercayai bahawa setiap dokumen dikemukakan itu adalah palsu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur serta Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama.

Suhaimi diwakili peguam, Khoo Wai Tuck manakala dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Utusan

Hit : 148