Berita Menarik

4 ahli perniagaan didakwa lagi berkait pengubahan wang haram

SHAH ALAM: Empat ahli perniagaan termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit berhubung Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Ab Aziz Abdullah, 44; Muhammad Semail, 43; Mohd Hariza Mohd Yusof, 34, dan Abu Yazid Mohd, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh pertama, Ab Aziz didakwa atas sembilan pengubahan wang haram berjumlah RM2,683,960, dengan antaranya memiliki empat jam jenama mewah, kondominium dan pangsapuri yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sekitar Taman Ukay Perdana dan Subang Perdana, dekat sini antara 21 Sept 2015 dan 6 April 2021.

Muhammad pula didakwa atas dua pertuduhan menggunakan wang tunai dan cek berjumlah RM854,513.90 sebagai sebahagian bayaran pembelian dua kereta mewah yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di dua pusat penjualan kereta di Sungai Buloh dan Kajang, dekat sini pada pada 5 Nov 2018 dan 22 Jan 2019.

Sementara itu, Hariza yang menghadapi enam pertuduhan, didakwa memiliki wang tunai, rumah serta jam dan kereta mewah bernilai RM1,023,900 selain memiliki wang tunai pelbagai mata wang asing, iaitu riyal Saudi 1,590; baht Thailand 18,400; 1,650 yuan (China) dan USD2,045 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di Taman Ukay Bistari dan Taman Ukay Perdana, Ampang antara 3 Feb 2016 dan 6 April 2021.

Abu Yazid pula didakwa atas empat pertuduhan memiliki wang tunai RM44,400, wang tunai riyal Saudi 7,900 dan dua pangsapuri yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di Taman Ukay Perdana antara 26 Dis 2017 dan 6 April 2021.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5,000,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nik Hasline Hashim memohon mahkamah mengguna pakai jaminan berjumlah RM1.05 juta yang dikenakan ke atas kesemua tertuduh (Ab Aziz RM400,000; Muhammad RM250,000; Hariza RM250,000 dan Abu Yazid RM150,000) semalam.

“Saya juga memohon agar kesemua kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama dengan kes yang dihadapi mereka,” katanya.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Md Yunos Sharif tidak membantah permohonan tersebut.

Rozilah membenarkan kesemua tertuduh mengguna pakai ikat jamin seperti yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam, selain turut membenarkan kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan.

Semalam, kesemua tertuduh termasuk kakak Ab Aziz, Anita Abdullah, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 81 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit berhubung sindiket sama.

Sumber : Free Malaysia Today

Hit : 1688