Berita Menarik

Gubah wang haram jutaan ringgit, Datuk antara lima didakwa

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan bergelar Datuk dan empat lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram jutaan ringgit membabitkan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejak 2015 hingga tahun lalu.

Mereka yang didakwa adalah Datuk Ab Aziz Abdullah, 44; kakaknya, Anita Abdullah, 47; suami Anita, Muhammad Semail, 43, manakala dua lagi adalah Abu Yazid Mohd, 38, serta Mohd Hariza Mohd Yusof, 34.

Bagaimanapun semua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Azura Alwi.

Di hadapan Hakim Suzana, Ab Aziz didakwa atas 41 pertuduhan antaranya memiliki wang tunai dalam akaun lima anak lelakinya serta memiliki kenderaan mewah seperti GMC Yukon XL, Range Rover Sport, Mercedes Benz GLA dan Toyota Vellfire.

Selain itu, tertuduh turut didakwa memiliki beberapa buah rumah di kondominium dan apartment di Jalan Bukit Setiawangsa dan Setapak selain membeli ruang pejabat yang juga hasil daripada aktiviti wang haram.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antaranya di Jalan Tun Razak, Taman Melawati, Taman Ukay Perdana, Setapak antara 13 Februari 2015 hingga 6 April 2021.

Di mahkamah sama, Anita pula berdepan 15 pertuduhan iaitu memiliki wang dan menggunakan beberapa cek untuk membeli beberapa unit kondominium serta beberapa unit lot kedai sekitar Taman Melati dan Taman Melawati di sini yang juga hasil aktiviti sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Melawati dan Jalan Tun Razak di sini antara 1 Mei 2015 hingga 6 April 2021.

Abu Yazid pula didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki wang simpanan dan memperoleh dua kereta mewah jenis Range Rover dan Mercedes Benz yang juga hasil aktiviti sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Sentul dan dua premis di Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak antara 5 Mac 2019 hingga 1 Julai 2021.

Sementara itu, di hadapan hakim Azura, Muhammad didakwa dengan 11 pertuduhan pengubahan wang haram wang berjumlah RM1.72 juta selain terdapat matawang asing Euro (EUR) 1,300 dan pound strerling (GBP) 2,000 dipercayai hasil daripada aktiviti sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antaranya di Jalan Melati Utama, Setapak, Wangsa Maju, Jalan Tun Razak dan Sungai Penchala antara 19 Mac 2018 hingga 6 April 2021.

Muhammad juga turut didakwa bersama Abu Yazid sebagai Pengarah Panorama Indeks Sdn Bhd dengan memiliki wang tunai RM28,985 milik syarikat itu yang juga hasil aktiviti sama dan kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank, Taman Melawati pada 6 April 2021.

Dalam pada itu, Mohd. Hariza pula didakwa atas sembilan pertuduhan memiliki wang berjumlah RM1.37 juta di dalam beberapa akaun bank dan menggunakan wang RM115,500 melalui sekeping 'Banker Cheque' CIMB Bank Berhad serta sekeping cek Public Bank Berhad sejumlah RM79,997.33 sebagai sebahagian daripada bayaran pembelian sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Pada masa prosiding di hadapan Hakim Azura itu, Mohd Hariza dan Ab Aziz turut didakwa bersama-sama memiliki wang tunai sebanyak RM559,779.15 di dalam akaun semasa CIMB Bank Berhad milik syarikat Sepakat Hidayah yang juga hasil daripada aktiviti haram di CIMB Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati pada 6 April 2021.

Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Ab Aziz diikat jamin RM400,000, Anita, Muhammad dan Mohd Hariza masing-masing RM250,000 serta Abu Yazid RM150,000 berserta syarat tambahan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif.

Sumber : Harian Metro

Hit : 2080