Kolumnis@SPRM

Kurang Rasuah Jika Tadbir Urus Baik

Oleh

Noor Mohamad Shakil Hameed

Penulis ialah Pentadbir Universiti dan Penganalisis Isu Semasa


PERKATAAN tadbir urus merujuk kepada tindakan yang dilaksanakan oleh golongan yang mempunyai kuasa di pelbagai peringkat pengurusan dan pentadbiran dalam sesebuah organisasi. 


Manakala konsep tadbir urus yang baik pula dikaitkan dengan prinsip melaksanakan sesuatu tanggungjawab dan amanah itu secara telus, berakauntabiliti dan berhemat dalam kerangka amalan integriti yang tinggi.  Terminologi ini sering menjadi asas yang penting dalam menggambarkan sesuatu proses pembuatan keputusan dan penyampaian hasil.


Pada hari ini konsep tadbir urus yang baik menjadi paksi dan tiang seri utama setiap organisasi baik swasta, korporat mahupun awam demi memenuhi tanggungjawab kepada pemegang taruh, pelanggan serta rakyat berpaksikan matlamat dan objektif organisasi masing-masing. 


Amalan tadbir urus yang baik akan membolehkan setiap organisasi dan kepemimpinannya meraih sokongan yang tidak berbelah bagi dari kalangan anggota organisasi dan juga semua pemegang taruh utama. Ianya sekali gus membolehkannya mengharungi semua cabaran semasa di samping menangani perubahan yang akan berlaku pada masa hadapan seterusnya kekal berdaya tahan.


Secara umumnya, amalan tadbir urus yang baik boleh dibahagikan kepada enam prinsip utama, iaitu pertama, berfokus kepada pelanggan di mana organisasi perlu memberikan keutamaan kepada kehendak, keperluan dan ekspektasi pelanggan. Untuk itu, organisasi yang memiliki tadbir urus yang baik akan sentiasa berusaha secara berterusan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan penambahbaikan sebagai usaha untuk meningkatkan kepuasan pelanggan.


Kedua, menitikberatkan kepentingan nilai moral dan etika yang tinggi. Organisasi akan memastikan setiap komponen barisan pekerja dalam organisasi dari lapisan pengurusan atasan hingga ke bawah memiliki dan mengamalkan etika dan budaya kerja yang tinggi berpaksikan nilai-nilai murni demi penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.


Ketiga, organisasi sentiasa telus baik dalam proses pembuatan keputusan mahupun dalam aspek perkongsian maklumat kepada semua pihak berkepentingan. Ini menzahirkan aspek keterbukaan dalam amalan tadbir urus yang baik.


Keempat, membudayakan integriti dan sedia memikul tanggungjawab atau akauntabiliti. Pemimpin organisasi perlu bersedia, sanggup dan berani dalam memberikan penjelasan kepada pemegang taruh terhadap apa jua tindakan dalam pelaksanaan sesuatu tugasan. Tuntasnya, integriti dan akauntabiliti menjadi antara elemen terpenting dalam amalan tadbir urus yang baik.


Kelima, organisasi perlu memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa berpaksikan budaya kerja yang efektif dan efisien. Untuk itu, organisasi perlu memiliki cara kerja, prosedur dan peraturan mahupun sistem yang dinamik yang membolehkan sesuatu tindakan itu dilaksanakan dengan cepat, tepat dan cekap tanpa karenah birokrasi di samping boleh menghasilkan kualiti kerja yang terbaik melalui penggunaan sumber yang minimum.


Manakala yang terakhir adalah kemampuan organisasi mengurus perubahan, iaitu bagaimana sesebuah organisasi itu boleh beradaptasi dengan perubahan yang berlaku dan memastikan terus kekal relevan dan berdaya saing.


Daripada keenam-enam prinsip tersebut, dapat dilihat tadbir urus yang baik boleh memastikan budaya defisit integriti seperti gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dapat diminimumkan, pandangan minoriti diambil kira dan suara golongan yang tidak menonjol didengar dalam proses pembuatan keputusan. Di samping itu, organisasi dan pemimpinnya juga responsif kepada keperluan semasa dan akan datang. 


Dalam konteks yang lebih global, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menggariskan tiga prinsip utama tadbir urus yang baik, iaitu keberkesanan, akauntabiliti dan keterangkuman. 


Mengikut prinsip ini, keberkesanan dalam tadbir urus diukur melalui pencapaian yang berlaku dalam sesebuah organisasi tersebut. Tadbir urus yang mampu memberikan kesan ialah tadbir urus yang mengutamakan kesejahteraan pemegang taruh. Tadbir urus ini akan mampu meningkatkan kualiti kerja, menghasilkan perkhidmatan yang baik dan pendidikan yang berkualiti. 


Prinsip akauntabiliti dalam tadbir urus pula menekankan bahawa seluruh organisasi bertanggungjawab dengan tindakan yang telah dilaksanakan. Setiap pihak dalam organisasi tersebut perlu menerapkan nilai amanah atau integriti dalam diri masing-masing supaya prinsip akauntabiliti ini boleh dicapai dengan jayanya. Nilai integriti dalam tadbir urus ini juga mampu memelihara ekonomi dengan mengurangkan ketirisan. 


Prinsip keterangkuman pula bertujuan agar tidak ada pihak yang terpinggir kerana perbezaan jantina, status mahupun kedudukan di mana setiap individu mempunyai hak untuk memberi pandangan atau berkongsi idea untuk meningkatkan prestasi dan kualiti sesebuah organisasi.


Perlu ditekankan bahawa ciri-ciri tadbir urus yang baik ini pada amnya telah diterima secara sejagat. Namun begitu, aplikasinya di setiap organisasi serta keseriusan barisan pemimpin organisasi dalam menjadikannya sebagai tiang seri pentadbiran masih longgar dan tidak memuaskan. Akibatnya berlaku peningkatan yang ketara dalam statistik kes pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa di semua peringkat lapisan organisasi di negara kita. 


Fenomena ini sangat merugikan kerana amalan tadbir urus yang baik di setiap organisasi mampu membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyat.


Misalnya, amalan tadbir urus yang baik di entiti korporat dapat meningkatkan keuntungan dan memberikan pulangan yang baik kepada pemegang saham di samping membantu pertumbuhan ekonomi negara. Manakala agensi awam pula dapat menambah kecekapan, mengurangkan ketirisan dan pembaziran sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat. 


Akhirnya ekonomi negara berkembang pesat, proses pembangunan berjalan dengan lancar, sistem penyampaian perkhidmatan lebih teratur dan semua ini akan menyumbang ke arah kesejahteraan hidup seluruh Keluarga Malaysia.


Hakikatnya, amalan tadbir urus baik merupakan konsep pentadbiran yang sangat ideal dan boleh memberi pelbagai manfaat kepada organisasi dan pemegang taruh. Pada dasarnya, tadbir urus yang baik akan menjadi tiang seri utama dalam memacu kecemerlangan sesebuah organisasi. Agensi awam misalnya diharap dapat terus memperkasa tadbir urus berpaksikan prinsip SWIFT, iaitu speed (pantas), world class knowledge (pengetahuan bertaraf dunia), inspirational (memberi inspirasi), flexible (fleksibel) dan technology-based (berasaskan teknologi) seperti yang telah digariskan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.


Tuntasnya, setiap organisasi di negara ini baik awam, swasta mahupun korporat serta para pemimpinnya perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan amalan tadbir urus yang baik diletakkan sebagai agenda kepimpinan yang utama demi kecemerlangan organisasi masing-masing.


Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 13397