Berita Menarik

Rasuah lebih RM500,000: Pengurus syarikat direman

PETALING JAYA: Seorang pengurus syarikat direman selama empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM500,000.

Suspek berusia 43 tahun tersebut ditahan kira-kira pukul 4 semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

Satu sumber memberitahu, suspek yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali telah meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha-pengusaha stesen minyak sekitar Kuala Lumpur sebagai dorongan bagi mengelakkan penilaian prestasi stesen-stesen minyak pemilik berkenaan terjejas.

“Permohonan reman bermula hari ini sehingga 8 Januari depan itu dibenarkan oleh Majistret Amanina Mohamad Anuar selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Hit : 1978