Kolumnis@SPRM

Pelan Antirasuah Organisasi - Membentuk Organisasi Kelas Pertama

Oleh:

KPKPj Nazli Rasyid Sulong

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

 

Keperluan memantapkan governans, integriti dan antirasuah sama ada di sektor awam mahu pun swasta tidak pernah terhenti meskipun dalam keadaan negara dilanda krisis kesihatan dan ekonomi serta ketidakstabilan senario politik.  


Keadaan tersebut samalah seperti di United Kingdom (UK) yang mana kerajaan UK juga tetap komited memperkukuhkan usaha menangani kesalahan rasuah walaupun UK mempunyai tahap integriti yang lebih tinggi daripada banyak negara dan tidak kebal daripada kesan rasuah (kenyataan bekas Setiausaha Dalam Negeri, United Kingdom, The Rt Hon Amber Rudd). Justeru, UK telah mewujudkan ‘United Kingdom Anti-Corruption Strategy 2017-2022’.


Di negara kita pula, kerajaan telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) bagi tempoh lima tahun bermula 2019 sehingga 2023 yang menggariskan sebanyak 115 inisiatif antirasuah bagi enam sektor berisiko melibatkan enam strategi iaitu memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam, mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang dan memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat.


Secara asasnya, NACP ini boleh ditafsirkan sebagai dokumen utama Kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah.


Ia menyediakan hala tuju dan kerangka tindakan pencegahan rasuah yang berstruktur dan jelas, mewujudkan sinergi antara pelbagai agensi atau organisasi dengan memaksimakan penggunaan pelbagai sumber dan idea, meningkatkan imej negara dan meningkatkan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam proses pentadbiran kerajaan.

Secara ringkasnya, pembangunan NACP ini adalah bagi mencapai aspirasi supaya Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah.


Menerusi NACP yang merupakan pelan induk di peringkat kebangsaan, program ini disokong dengan Pelan Antirasuah Organisasi atau Organisational Anti-Corruption Plan (OACP) yang merupakan inisiatif mandatori sama ada di peringkat agensi awam atau agensi swasta yang berkaitan seperti Badan Berkanun, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK), Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) yang ditubuhkan oleh Kerajaan dan sektor swasta yang dikawal selia oleh badan kawal selia di Malaysia.


Perkara itu dinyatakan secara jelas menerusi dua strategi daripada enam strategi yang dirangka dalam NACP tersebut iaitu pada Strategi 2: Memperkukuhkan  Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam; dan Strategi 6: Memupuk Tadbir Urus Baik Dalam Entiti Korporat.


Malah kewujudan OACP ini jelas memperlihatkan kesungguhan dan komitmen sesebuah agensi awam atau swasta untuk memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang berintegriti serta keberkesanannya.


OACP ini diwujudkan sebagai satu platform yang sistematik dalam menangani isu rasuah dengan komitmen pengurusan tertinggi agensi dalam pencegahan rasuah dan mekanisme pelaporan kepada pengurusan tertinggi yang dibuat secara berkala.


Tujuan utama OACP ini dibangunkan ialah bagi menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam sesebuah agensi awam dan swasta yang melibatkan semua bidang dan aktiviti, khususnya yang berisiko dalam organisasi terbabit.


Ini boleh djadikan sebagai asas atau persiapan kepada organisasi komersial dalam mewujudkan tatacara mencukupi selaras dengan peruntukan Labiliti Korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.


Selain itu, OACP juga bertujuan memastikan pembangunan organisasi yang lestari dan bebas rasuah dengan mengambil kira situasi kini serta masa hadapan.


Dalam menyediakan OACP, sesebuah organisasi tersebut boleh mendapatkan khidmat nasihat serta kepakaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan mana-mana pihak yang berkelayakan dalam membangunkan OACP masing-masing.


Oleh sebab itu, SPRM telah menyediakan satu modul pembangunan OACP yang disampaikan menerusi bengkel bagi membantu kementerian, jabatan dan agensi swasta dalam melaksanakan perkara tersebut. Selain itu SPRM juga membangunkan modul latihan secara hibrid iaitu menggabungkan modul OACP dan Corruption Risk Management (CRM).


Salah satu faktor penting dalam memastikan OACP ini dapat dibangunkan adalah peranan pengurusan tertinggi dalam memperuntukkan sesuatu sumber yang mencukupi, memberikan autoriti kepada jawatankuasa dan tempoh masa mencukupi untuk membangunkan OACP.


Pada peringkat permulaan, setiap organisasi tersebut perlu melantik jawatankuasa khusus yang bertanggungjawab dalam pembangunan OACP. Jawatankuasa yang dilantik hendaklah dipersetujui oleh Pengurusan Tertinggi agensi.


Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh pegawai kanan yang berpengalaman dalam governans, integriti dan antirasuah. Ahli-ahli jawatankuasa pula terdiri daripada wakil setiap bahagian bagi membolehkan risiko-risiko disetiap bahagian dapat dikenalpasti.


Peranan jawatan kuasa ini ialah membuat perancangan dan menetapkan hala tuju, membangunkan OACP dengan melaksanakan semua proses pembangunan, memastikan pembangunan OACP disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan, membuat pembentangan kepada pengurusan tertinggi serta mendapatkan pengesahan serta persetujuan pengurusan tertinggi

OACP ini perlu dirangka dengan mengambil kira pelan jangka masa tiga tahun atau lima tahun dan tidak perlu seiring dengan tempoh masa pelaksanaan NACP.


Penyelarasan pembangunan dan pelaksanaan OACP pula dipertanggungjawabkan kepada ketua agensi dengan diuruskan oleh Unit Integriti bagi agensi awam seperti kementerian dan jabatan dan Unit Integriti dan Governans (Integrity and Governance Unit – IGU) bagi agensi swasta yang mengendalikan aspek governans, integriti dan antirasuah.


Dalam konteks ini, peranan Unit Integriti dan IGU sebagai urusetia atau sekretariat amat penting bagi memastikan segala hala tuju OACP dapat dicapai.

Ia seharusnya berperanan untuk memantau, menilai dan melapor segala pencapaian OACP dengan memberi fokus kepada memantau pelaksanaan dan pematuhan kepada pelan tindakan yang diwujudkan.


Peranan lain yang harus diberi keutamaan adalah melaksanakan koordinasi dan keterlibatan dengan semua peneraju yang dipertanggungjawabkan termasuk pemegang taruh, pihak ketiga atau pihak yang berkepentingan. Sebagai kesinambungan proses tersebut, Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) peringkat kementerian, jabatan, agensi atau kerajaan negeri pula berfungsi sebagai mekanisme tertinggi yang menerima laporan, membincangkan, membuat keputusan dan memantau pelaksanaan OACP pada setiap suku tahun.


Sekiranya terdapat isu bersifat generik yang perlu diselesaikan, ia akan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.


Selain itu juga, penilaian dan semakan semula terhadap keberkesanan OACP dilaksanakan pada setiap setahun sekali bagi memastikan strategi dan pelan tindakan yang dirangka berjaya menangani permasalahan yang timbul.


Oleh sebab itu, SPRM sangat mengalu-alukan pelaksanaan OACP yang dibangunkan oleh sektor awam dan swasta. Pada tahun 2019 hingga Jun 2021, SPRM telah membantu 65 agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membangunkan pelan berkenaan melalui beberapa siri bengkel dan program Training of Trainers (TOT).


SPRM juga tidak terkecuali untuk melaksanakan OACP. Pada 25 Februari 2021, SPRM telah melancar dan menguatkuasakan Pelan Antirasuah SPRM (PARAS) bagi tempoh 2021 – 2025 dengan visi menjadikan SPRM agensi penguatkuasaan undang-undang yang bermaruah dan berintegriti tinggi.

Oleh yang demikian bagi mencapai visi yang telah ditetapkan, PARAS telah memberi tumpuan kepada tiga (3) bidang keutamaan dan strategi serta menetapkan 7 objektif strategik dengan melibatkan 34 pelan tindakan atau inisiatif jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang melibatkan aspek integriti, rasuah dan governans.


Dalam pada itu, sepanjang tempoh negara kita berdepan dengan pandemik COVID-19 ini, kerjasama SPRM dalam membantu membangunkan OACP kepada agensi tidak terhenti. Sepanjang tempoh ini, SPRM menggunakan kaedah TOT yang dilaksanakan secara atas talian (online) dengan penglibatan wakil dari beberapa agensi yang memohon.


Apa yang lebih penting, menerusi pelaksanaan pelan ini, imej dan kualiti organisasi dapat dimantapkan ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta negara sekali gus mencapai matlamat NACP yang ingin menjadikan penjawat awam efisen dan responsif dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama.


Hit : 3818