Kolumnis@SPRM

Ikrar Integriti Terajui Usaha Antirasuah Sektor Swasta, Korporat Di Persada Dunia

KPKPj Nazli Rasyid Sulong

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Di peringkat antarabangsa, sudah menjadi kelaziman lafaz ikrar integriti dan pemeteraian piagam antirasuah diterajui oleh sektor swasta dan korporat di pelbagai industri dan sektor ekonomi serta perniagaan.

Mekanisme pencegahan rasuah seumpama ini merupakan usaha kerjasama antara semua pihak berkepentingan dalam membanteras isu rasuah dan pada masa sama bagi meningkatkan integriti, etika perniagaan serta tanggungjawab korporat.

Sebagai contoh, Di United Kingdom (UK), komitmen mengurangkan rasuah diterajui oleh sektor perniagaan secara kolektif yang disokong oleh kerajaan melalui LondonAnti-Corruption Summit telah pun dilancarkan sejak 2016.

Syarikat-syarikat di UK termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (SME) melafazkan integriti masing-masing melalui pemeteraian kod perniagaan dan piagam etika yang jelas dan terperinci.

Lafaz dan deklarasi antirasuah juga diadakan dalam skala yang besar ketika EuropeanUnion (EU) Parliament Elections pada tahun 2014 melalui platform TransparencyInternational EU.

Di Argentina pula, Ethics Pledge dilancarkan oleh Argentina Associationof Corporate Counsel bagi menegakkan integriti dan memastikan aktiviti-aktiviti berkaitan perundangan, litigasi dan kepeguaman dilaksanakan dengan telus dan profesional tanpa sebarang unsur rasuah atau penipuan selaras dengan Argentine Penal Code dan United Nations Convention againstCorruption (UNCAC).

Begitu juga di India, pelaksanaan konsep ikrar integriti oleh National StandardBody of India mulai 2016 telah menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara melalui penghasilan produk eksport dan perkhidmatan pemprosesan perkilangan yang berkualiti tinggi.

Tidak ketinggalan juga, negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura turut melancarkan ikrar dan piagam antirasuah masing-masing.

Di Thailand, tindakan kolektif dan proaktif sektor swasta dan korporat dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam industri serta ekonomi setempat merupakan satu cabaran yang besar terutamanya dalam proses kerja dan aspek pentadbiran yang melibatkan sektor awam.

Walau bagaimanapun, inisiatif ini telah dimeterai oleh 881 syarikat di Thailand melalui platform Thailand Private Sector CollectiveAction Coalition against Corruption.

Manakala di Singapura, Singapore Corrupt PracticesInvestigation Bureau menggalakkan syarikat-syarikat melafaz dan mengamalkan integriti melalui sistem PACT iaitu, Pledge, Assess, Control andCommunicate, Track.

Di Malaysia pula, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) mendorong agensi swasta dan sektor korporat untuk memeterai Ikrar Integriti Korporat (CIP) yang merupakan lafaz ikrar secara unilateral dan sukarela oleh sesebuah organisasi sebagai pernyataan komitmen bagi mendukung prinsip-prinsip pencegahan rasuah di negara ini.

 

Gambarajah 1: Lima Prinsip Antirasuah bagi syarikat-syarikat di Malaysia berdasarkan CIP

CIP dan Corporate Integrity System Malaysia (CISM) merupakan usaha kolektif (collective effort) antara tujuh ahli Perbincangan Meja Bulat Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM RTD) iaitu SPRM, Institut Integriti Malaysia, Transparency International Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bursa Malaysia Berhad dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC).

Harus difahami, pemeteraian CIP bukanlah sekadar pelafazan ikrar sahaja tetapi ia perlu bersekali dengan pelaksanaan inisiatif CISM yang boleh dilihat sebagai persediaan awal bagi organisasi atau syarikat untuk melaksanakan undang-undang mengenai liabiliti korporat dalam memastikan organisasi atau syarikat mereka bebas daripada jenayah rasuah.

Undang-undang tersebut memerlukan syarikat untuk mengambil langkah-langkah yang mencukupi bagi memastikan rasuah tidak berlaku di syarikat.

CISM menggariskan tujuh inisiatif yang perlu dipatuhi oleh penandatangan CIP yang memohon iaitu kepimpinan, kod etika, polisi mengenai pencegahan rasuah, pengurusanrisiko rasuah, latihandan komunikasi, penilaian prestasi serta pelaporan pencegahan rasuah.

Pada tahun 2021, proses pelaksanaan inisiatif CISM telah ditambah baik dengan menyusun atur proses baharu serta memperincikan polisi pencegahan rasuah bagi membantu dan memudahkan organisasi atau syarikat mewujudkan sistem pencegahan rasuah yang lebih sistematik.

Proses pelaksanaannya telah diperkemaskan bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan dan pemantauan serta membantu komuniti perniagaan daripada pelbagai kategori organisasi dan syarikat di dalam negara termasuk semua jenis syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 sama ada Syarikat Awam atau Syarikat Sendirian Berhad, Badan Berkanun, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan mana-mana pertubuhan lain yang didaftarkan di Malaysia.

Rantaian nilai CISM  atau proses pelaksanaan CISM ini bermula dengan permohonan dan pendaftaran, seterusnya diikuti dengan pelaksanaan, pemantauan dan diakhiri dengan penghargaan.

Platform bagi pelaksanaan program CISM ini terdapat di portal CISM yang telah dikemaskini dan dilancarkan semula pada 1 Oktober 2019 oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM sebagai pusat rujukan status pelaksanaan inisiatif-inisiatif CISM oleh penandatangan CIP.

Portal ini boleh diakses melalui pautan https://cism.sprm.gov.my bagi pelaksanaan inisiatif CISM secara pengisytiharan kendiri (self-declaration) oleh organisasi atau syarikat yang berdaftar menyertai program CISM ini.

Self-declaration bermaksud organisasi atau syarikat perlu memenuhi kesemua kehendak inisiatif CISM yang ditetapkan dengan melengkapkan senarai semak pelaksanaan inisiatif CISM iaitu satu senarai soalan yang perlu dijawab oleh organisasi atau syarikat.

Dengan menjawab soalan-soalan yang disediakan dalam senarai semak itu, organisasi atau syarikat akan menerima pemahaman yang jelas terhadap keperluan-keperluan sebuah organisasi dalam memastikan terdapatnya kewujudan persekitaran yang mementingkan prinsip antirasuah dan polisi-polisi dalaman yang relevan untuk mencapai objektif CISM untuk menerap nilai-nilai etika dan bebas rasuah ke dalam budaya perniagaan negara.

Impaknya, pelaksanaan CIP di Malaysia mampu menangani peningkatan tahap atau persepsi rasuah serta meningkatkan integriti, etika perniagaan dan tanggungjawab korporat.

Pendek kata, CIP merupakan suatu usahasama yang efektif dan berimpak tinggi di antara pihak berkepentingan dalam membanteras isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di sektor korporat dan swasta.


Hit : 431