Berita Menarik

Rasuah: Tertuduh terpaksa guna simpanan haji milik sendiri dan ibu bayar denda

SHAH ALAM: Seorang eksekutif sebuah pasar raya yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menerima suapan berjumlah RM4,488 mengaku terpaksa menggunakan wang simpanan untuk ibadah haji sendiri dan ibunya untuk membayar denda.

Dalam rayuan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, tertuduh, Noorazlina Shapie, 43, dilihat menangis teresak-esak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling rendah memandangkan sudah insaf dan mengaku lalai, leka dan turut hidup dalam keadaan tidak tentu arah sejak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia yang tidak diwakili peguam mengaku terpaksa menjual salah satu kenderaan serta menggadai gelang emas ibu dan anaknya bagi menjelaskan jumlah denda yang akan ditentukan sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

“Saya berdosa dengan emak saya. Emak sanggup bagi duit TH. Saya bersalah dengan emak, saya anak derhaka. Saya hendak keluar tadi emak saya menangis, emak mahu ikut tetapi saya tak beri. Hidup saya tidak tentu arah. Saya sudah taubat, saya janji tidak akan buat lagi.

“Ini kifarah yang saya dapat, saya hidup susah sangat sekarang, rumah sewa juga sudah dua bulan tidak bayar. Saya sudah taubat dan saya janji tidak akan buat lagi,” katanya.

Noorazlina kemudian terpinga-pinga sebaik sahaja hakim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda berjumlah RM44,000 selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan diberi suapan berjumlah RM4,488 antara 24 Disember 2019 sehingga 6 Januari lalu.

Dia dilihat berkali-kali menoleh ke arah suaminya yang duduk di galeri awam sebelum akhirnya ditenangkan oleh pegawai SPRM yang duduk berhampiran.

Rozilah turut mengarahkan hukuman penjara 44 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut selepas mengambil kira kesemua 22 pertuduhan utama dihadapi tertuduh melibatkan jumlah suapan sebanyak RM38,360.

Berdasarkan 22 pertuduhan utama, Noorazlina yang kini tidak bekerja didakwa menerima rasuah daripada dua pemilik syarikat iaitu Athirah Bazir, 45, pemilik syarikat Suria Green Home dan Nor Ziana Abd. Shukur, 42, salah seorang pemilik syarikat Aspansuri Corporation Sdn Bhd.

Wang berkenaan diberitahu dimasukkan melalui akaun simpanan CIMB milik anaknya dan Maybank miliknya sendiri sebagai dorongan untuk mendapatkan kontrak kerja pembersihan di pasar raya terkenal itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, ibu kepada lima orang cahaya mata itu mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pilihan iaitu pertuduhan pilihan keenam sehingga ke-15 iaitu didakwa diberikan suapan berjumlah RM4,488 oleh Athirah dan Nor Ziana melalui akaun simpanan miliknya dan anak lelaki sebagai dorongan membantu mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di pasar raya terkenal itu.

Noorazlina juga didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank iaitu CIMB Bank Cawangan The Strand, Kota Damansara, Petaling Jaya dan Maybank Cawangan Shah Alam, di sini antara 30 Mei 2019 sehingga 6 Januari 2021.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik semua pertuduhan utama dan pilihan lain yang mana tertuduh mengaku tidak bersalah memandangkan pihak mahkamah telah mengambil kira kesemua pertuduhan sebelum menjatuhkan hukuman.


Sumber : Utusan


Hit : 1879