Kolumnis@SPRM

Keberkesanan Pencegahan Melalui Pemeriksaan Selari Dengan Siasatan

Oleh:
KPKPj Nazli Rasyid Sulong
Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Peranan sektor awam pada masa kini banyak memberi impak kepada orang awam dan negara. Pelbagai impak positif dapat dilihat melalui kemajuan pembangunan dan ekonomi negara. Sebagai contoh, kemajuan pembangunan dan ekonomi yang dapat dinikmati pada hari ini adalah disebabkan keberkesanan sektor awam di mana usaha kakitangan awam dan jabatan-jabatan kerajaan melaksanakan tugas dengan baik untuk mencapai prestasi yang membanggakan.

Sokongan daripada pihak pemerintah juga merupakan faktor kejayaan yang dicapai oleh Malaysia kini. Namun, kita tidak dapat lari daripada persepsi-persepsi negatif yang dilontarkan terhadap sektor awam. Ini berikutan berlakunya penyakit-penyakit duniawi seperti rasuah, pecah amanah, kes jenayah termasuk jenayah kolar putih yang dilakukan oleh segelintir penjawat awam.

Berdasarkan kajian trend kesalahan-kesalahan governans, integriti dan anti-rasuah di Malaysia di dalam sektor awam dan sektor swasta bagi tempoh lima (5) tahun yang dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-rasuah (GIACC) mendapati trend rasuah di Malaysia berdasarkan tempoh lima (5) tahun iaitu 2013-2018, sektor awam dilihat sebagai sektor yang paling berisiko terhadap amalan rasuah iaitu 63.30 peratus berbanding tahap risiko 17.06 peratus oleh sektor swasta.

Hasil kajian ini mendapati amalan rasuah yang tinggi di sektor awam adalah disebabkan oleh tadbir urus yang lemah dalam bidang perolehan, agensi penguatkuasaan undang-undang serta pentadbiran.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) adalah berfungsi sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM2009) dimana ia bertanggungjawab untuk menerima aduan tentang pelakuan rasuah, mengesan dan menyiasat apa -apa percubaan, komplot atau kesalahan di bawah ASPRM 2009 dan meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-badan awam atau mana-mana pihak yang meminta bantuan bagi memudahkan penemuan kesalahan di bawah ASPRM 2009 dan untuk menghasilkan kajian semula amalan, sistem atau tatacara itu yang pada pendapat Ketua Pesuruhjaya mungkin membawa kepada rasuah.

Sektor Operasi merupakan satu sektor utama dibawah SPRM, dimana ia melaksanakan fungsi SPRM dalam mengesan dan menyiasat apa-apa percubaan, komplot atau kesalahan di bawah ASPRM 2009. Bahagian Siasatan, Bahagian Operasi Khas dan Bahagian Perisikan merupakan barisan hadapan dalam operasi siasatan dan perolehan maklumat melalui penguatkuasaan undang-undang ASPRM 2009.

Manakala Sektor Pencegahan, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan merupakan bahagian yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti meneliti amalan, sistem dan tatacara badan-badan awam atau mana-mana pihak yang meminta bantuan bagi mengenalpasti kelemahan dalam pentadbiran sesebuah agensi.

Aktiviti  pemeriksaan dan perundingan ke atas amalan, sistem dan tatacara kerja merupakan aktiviti utama yang sangat penting dalam usaha pencegahan rasuah hingga ke akar umbi. Dimana sistem dan tatacara kerja yang baik dapat mengurangkan ruang dan peluang berlakunya amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan kelemahan tadbir urus.

Selaras dengan Transformasi SPRM dan pelaksanaan kaedah Pengurusan Penyiasatan Berkesan (Effective Investigation Management-EIM), koordinasi tindakan operasi dan pencegahan amat diperlukan bagi memantapkan aktiviti pemeriksaan dan perundingan sekali gus memberi impak dan keberhasilan siasatan yang optima.

Kaedah Pengurusan Penyiasatan Berkesan (Effective Investigation Management-EIM), ini dilaksanakan bagi kes-kes berprofil tinggi iaitu kes-kes yang melibatkan pemerintah negara dan ahli politik serta pegawai kanan yang berada dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Ketua Jabatan Persekutuan/Negeri serta pemimpin badan korporat/awam/syarikat berkaitan kerajaan dan badan-badan profesional dan keutamaan bagi kes yang melibatkan kepentingan awam dan negara serta mendapat liputan meluas oleh media massa.

Aktiviti pemeriksaan yang dilaksanakan melalui kaedah EIM ini, membantu pegawai pemeriksa dan perunding dalam melaksanakan pemeriksaan seiring dengan pegawai penyiasat bagi meneliti dan mengenalpasti elemen-elemen amalan, sistem dan tatacara kerja yang menyebabkan berlakunya kes rasuah tersebut.

Pegawai pemeriksa dan perunding bertanggungjawab memeriksa dokumen berhubung peraturan, dasar dan dokumen-dokumen lain serta menemuduga pegawai-pegawai agensi / jabatan terbabit yang boleh membantu dalam mengenalpasti kelemahan-kelemahan dalam aspek sistem dan tatacara kerja selari dengan keperluan operasi siasatan.

Kaedah ini lebih berkesan dalam mengenalpasti modus operandi serta punca dan kelemahan sebenar sistem dan tatacara kerja yang menyebabkan berlakunya peluang dan ruang rasuah. Sebagai contoh, kaedah EIM ini dapat dilihat dalam siasatan SPRM terhadap syarikat-syarikat pembungkusan (repackers) minyak masak sawit tulen di seluruh Malaysia, dimana syarikat -syarikat pembungkusan minyak ini telah membuat tuntutan palsu berkaitan tuntutan pembayaran balik subsidi minyak masak sawit tulen (1kg) kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEPP) sedangkan minyak masak subsidi yang dibeli tidak dibekalkan kepada peruncit-peruncit sebagaimana tuntutan syarikat repackers tersebut.

Modus operandi yang dikenalpasti adalah pihak syarikat pembungkusan (repackers) minyak masak sawit tulen ini telah memalsukan invois dan cop syarikat pembekal serta pengedar minyak masak bagi tujuan tuntutan pembayaran balik subsidi. Bagaimanapun, pemeriksaan yang dijalankan mendapati aktiviti tuntutan palsu ini berlaku disebabkan oleh kelemahan dalam penggunaan borang tuntutan manual bagi tujuan menuntut subsidi oleh pihak kilang penapis dan syarikat pembungkus menyebabkan pihak KPDNHEP mengalami kesukaran untuk mengesan samada tuntutan tersebut adalah tulen ataupun sebaliknya.

Aktiviti siasatan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati kelemahan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (Cooking Oil Stabilization Scheme-COSS) merupakan punca kepada aktiviti tuntutan palsu di kalangan syarikat pembungkusan minyak di seluruh Malaysia yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan pengguna.Pemeriksaan yang dilaksanakan secara EMI ini turut dilaksanakan di dalam OPS SOLAR. OPS SOLAR merupakan salah satu rasuah di dalam perolehan kerajaan dimana rasuah itu berlaku disebabkan oleh kelemahan dalam pentadbiran kontrak serta dalam pengurusan projek kerajaan.

Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan mendapati kelemahan dalam sistem pentadbiran dan perolehan kerajaan yang menyebabkan berlakunya campur tangan dalam perolehan kerajaan dimana surat sokongan daripada ahli pentadbiran kerajaan digunapakai dalam pelantikan perolehan projek. Campur tangan ini menyebabkan projek diberikan secara salah dan tidak memenuhi kriteria peraturan kewangan bagi projek rundingan terus dimana proses rundingan harga ke paras yang terendah tidak dilaksanakan dan menyebabkan kerugian kepada pihak kerajaan.

Selain itu, pemeriksaan dan siasatan juga mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan pentadbiran kontrak, dimana didapati berlaku pemalsuan dokumen yang dilakukan oleh pihak syarikat terhadap dokumen kontrak disebabkan oleh tanggungjawab penyediaan salinan dokumen kontrak bagi projek ini telah diserahkan kepada pihak syarikat yang dilantik.

Ini telah membuka ruang kepada manipulasi ke atas dokumen kontrak yang telah ditandatangani oleh pihak Kerajaan. Pemeriksaan dan siasatan juga mendapati kelemahan dalam pengurusan projek kerajaan juga membuka ruang berlakunya kesalahan tuntutan palsu, dimana kegagalan memantau kerja -kerja di tapak bina menyebabkan ruang pakatan diantara pihak-pihak tidak bertanggungjawab melakukan tuntutan palsu dalam kerja-kerja di tapak bina.

Rasuah dan penyelewengan kuasa yang berlaku di dalam pentadbiran perolehan kerajaan adalah disebabkan oleh kelemahan dalam sistem perolehan dan pentadbiran kerajaan dimana kelemahan tersebut memberikan ruang kepada individu dan pihak-pihak tertentu untuk menangguk di air keruh dengan mengaut keuntungan demi kepentingan diri sendiri.

Manakala kegagalan sistem pengurusan projek kerajaan menyebabkan projek yang dibangunkan tidak berkualiti dan tidak berfungsi sepenuhnya dan ini memberi kesan kepada masyarakat apabila projek yang dibangunkan tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Kelemahan dalam sistem perolehan, pengurusan projek dan pentadbiran kerajaan ini menyebabkan kerajaan mengalami ketirisan wang awam dan kerugian yang besar.

SPRM melaksanakan tugas dan fungsinya adalah sebagaimana yang dinyatakan di bawah Seksyen 7 ASPRM 2009. Fungsi utama SPRM terbahagi kepada dua iaitu Siasatan dan Pencegahan dimana kedua-dua fungsi ini adalah untuk memastikan rasuah tidak berlaku dalam sistem pentadbiran kerajaan. Siasatan yang dilaksanakan oleh SPRM adalah berdasarkan konsep Fire Fighting” dimana siasatan akan dijalankan berdasarkan laporan yang diterima yang mengandungi unsur -unsur kesalahan dibawah ASPRM 2009 dan tujuan utama dalam siasatan adalah untuk membuktikan kesalahan yang dilakukan berdasarkan keterangan-keterangan yang diperolehi bagi tujuan pendakwaan dan hukuman kepada pesalah rasuah.

Walaubagaimanapun, kita sedia maklum rasuah berlaku apabila terdapat ruang dan peluang pelaku untuk melakukan penyelewengan dan rasuah. Ruang dan peluang ini adalah disebabkan oleh kelemahan didalam sistem pentadbiran kerajaan mahupun organisasi. Sehubungan itu, fungsi SPRM dalam mencegah rasuah perlu dilaksanakan melalui pemeriksaan dan perundingan.

Pemeriksaan dan perundingan adalah berkonsepkan kepada cegah dan rawat” dimana konsep ini membolehkan SPRM mengenalpasti punca sebenar penyelewengan dan rasuah berlaku serta merawatnya dengan menutupi punca tersebut dengan menambahbaik kelemahan di dalam sistem pentadbiran kerajaan dan organisasi.

Oleh yang demikian, pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan secara selari membolehkan pembabitan pegawai pemeriksa dan perunding dalam operasi yang dijalankan mengenalpasti punca sebenar dan memahami lebih jelas dan terperinci kelemahan sistem atau tatacara dalam sesuatu organisasi yang menyebabkan aktiviti rasuah berlaku. Ini kerana pegawai pemeriksa dan perunding bertanggungjawab untuk melaksanakan pemeriksaan seiring dengan pegawai penyiasat bagi meneliti dan mengenalpasti elemen-elemen amalan, sistem dan tatacara kerja yang menyebabkan berlakunya kes rasuah tersebut.


Hit : 3057