Kes-kes Menarik

Bekas pengarah, dua pengurus syarikat didenda kemuka tuntutan palsu

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (FRIRA) Dungun didenda RM30,000 manakala dua pengurus dari sebuah syarikat masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir, 57, Azlin Md Ashaari, 54, serta Muhammad Azmi Abdullah, 43, selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pindaan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka diarahkan menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Syed Abdullah didakwa atas enam pertuduhan bersubahat bersama kedua-dua tertuduh yang merupakan pemilik syarikat untuk mengemukakan dokumen tuntutan kerja-kerja perkhidmatan kepada FRIRA Dungun, Terengganu yang mengandungi butir matan palsu berjumlah keseluruhan RM64,100 sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan pada 2018.

Ketiga-tiga mereka pada 24 Ogos lalu sudah dihadapkan ke mahkamah yang sama namun tdak mengaku bersalah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 28(1) dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) 2009 itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Sumber : Sinar Harian


Hit : 540