Kolumnis@SPRM

Kembalikan Ketirisan Hasil Negara

Sarfarizmal bin Md. Saad
Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)

Sering kali kita membaca atau melihat laporan media mengenai kes jenayah kewangan atau rasuah dilaporkan membabitkan jumlah daripada ribuan ringgit kepada jutaan ringgit. Meskipun kes itu sering menjadi tajuk utama di dada akhbar atau di media elektronik yang melaporkan pendedahan mengenai perkara berkenaan, masih ada segelintir masyarakat yang tidak endah dan terus melakukannya tanpa rasa takut. Di sebalik itu, kes-kes seumpama ini sebenarnya agak sukar untuk dibuktikan di mahkamah. Ini disebabkan penjenayah kewangan begitu licik ketika menjalankan urusniaga dan transaksi masing-masing.

Golongan ini sentiasa mencari kesempatan pada kesamaran undang-undang agar tidak ditangkap mahupun didakwa serta sentiasa memastikan tindak-tanduk mereka terlindung daripada sebarang perhatian umum. Oleh sebab itu, penguatkuasa kini lebih proaktif dengan membuat pendekatan merampas kesemua harta dan hasil perbuatan jenayah kewangan yang dilakukan menggunakan peruntukan undang-undang yang bersesuaian. Hal ini perlu bagi memastikan hasil perbuatan haram ini dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung melumpuhkan secara keseluruhannya punca kepada berlakunya perilaku jenayah ini.

Cuba renungkan senario ini sebagai contoh, Seman (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pengurus di sebuah bank dengan gaji bulanan kira-kira RM10,000 sebulan. Pada suatu hari, beliau ditahan kerana melakukan pecah amanah wang bank tersebut berjumlah RM500,000. Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Andaikata sebelum pendakwaan dilakukan, Seman sempat melaburkan sebahagian daripada wang berkenaan iaitu kira-kira RM300,000. Sudah tentu sepanjang tempoh perbicaraan kesnya yang mungkin akan mengambil masa boleh mencecah tujuh atau lapan tahun, wang pelaburannya itu juga akan berganda dan memberikan pulangan tinggi kepadanya. Sekiranya, selepas melalui beberapa proses perbicaraan di mahkamah, akhirnya mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun kepada Seman.

Bayangkan, jika duit pelaburannya itu tadi sudah berganda sepanjang tempoh perbicaraan, Seman masih mempunyai ratusan ribu dalam simpanannya selepas keluar penjara! Maksud tersirat dalam undang-undang atau 'spirit' undang-undang kes pecah amanah ini adalah berbeza berbanding kes yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan

Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). Berdasarkan kepada akta ini, jika seseorang itu didapati terbabit dengan kes pengubahan wang haram maka segala aset atau harta yang dibeli menggunakan wang haram ini dapat disita manakala wang tunai dirampas sekali gus melumpuhkan aktiviti sindiket atau individu yang menerima wang haram ini.

Itu baru senario kes dianggap jumlah kecil, bayangkan jika ada ahli politik atau ahli perniagaan lain yang dikaitkan menerima atau memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit melalui pemindahan wang dalam bank atau deposit cek ke dalam akaun bank.Dalam hal ini juga, tidak adil sekiranya kita membandingkan kes jenayah seperti mencuri di bawah Kanun Keseksaan dengan kes menerima wang daripada sumber haram di bawah AMLATFPUAA 2001.

Ini kerana kita sering melihat isu ini ‘dimomokkan’ di platform media sosial apabila masyarakat sering membuat persepsi negatif dengan membezakan bagaimana rakyat ‘marhaen’ yang melakukan kesalahan kecil tetapi menerima hukuman yang tidak setimpal seperti dipenjara sedangkan berbanding ahli politik yang terbabit dengan kes rasuah hanya dikenakan hukuman denda yang ringan. Seperti dinyatakan, 'spirit' undang-undang bagi akta-akta berkaitan adalah berbeza-beza.

Minda rakyat kita telah dipesongkan dengan perkara-perkara sebegini sehingga akhirnya sukar untuk pihak berkuasa termasuk mahkamah untuk berbuat sebarang keputusan. Bagaimanapun, kaedah baru dalam hala tuju hasil siasatan berkaitan pengubahan wang haram ialah selain pertuduhan adalah melalui pemulihan aset. Kaedah ini bukan sahaja memberikan hasil (outcome) yang lebih baik tetapi merupakan satu kaedah menghukum pesalah undang-undang selain hukuman penjara dan denda di mahkamah.

Melalui satu artikel yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ) pada 14 Januari 2021 menyatakan Jabatan itu telah berjaya membuat pemulihan aset melebihi RM9.2 bilion (USD2.2 bilion) daripada kesalahan melibatkan kes-kes Tuntutan Palsu bagi tahun 2021.

Kaedah penyelesaian melalui pemulihan aset ini telah dimulakan semenjak tahun 1986 lagi dan sehingga kini jumlah keseluruhan pemulihan yang diperolehi oleh US DOJ adalah berjumlah RM267.9 bilion (USD64 bilion).

Antara kesalahan yang dibuat penyelesaian melalui kaedah penyelesaian dan pemulihan aset adalah tuntutan palsu, antaranya penipuan tuntutan pembiayaan kesihatan atau yang berkaitan kesihatan (insurans dan lain-lain), penipuan melibatkan perolehan, penipuan bankrap dan lain-lain lagi. Selain itu, masih lagi terdapat penyelesaian bagi pemulihan tertangguh (pending recoveries) yang belum selesai yang dijangka berjumlah RM11.72 bilion (USD2.8 bilion) melibatkan kes tuntutan bankrap palsu.

Satu lagi artikel berkaitan yang dikeluarkan oleh World Bank – Stolen Asset Recovery Initiative (StAR) pada 10 Disember 2020 menyatakan bahawa antara cabaran dan inisiatif yang dijalankan bagi tujuan penyelesaian dan pemulihan aset adalah melalui penglibatan enabler dan kerjasama antarabangsa antaranya dalam kes Ben Ali di Tunisia dan juga 1MDB.

Kes-kes melibatkan kesalahan rasuah adalah semakin kompleks dan sukar dikesan, justeru melalui kaedah penyelesaian pemulihan aset amat berguna dalam mengembalikan ketirisan hasil kerajaan dan mengembalikan semula hak milik kepada pemilik sebenar dan juga negara. Kaedah penyelesaian melalui pemulihan aset ini bukan sahaja dijalankan oleh SPRM dan Kerajaan Malaysia amnya tetapi telah lama dimulakan oleh negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan ia telah berjaya mengembalikan semula hasil kerajaan dengan lebih baik.

 Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 479