Berita Menarik

Dua pegawai Imigresen terima rasuah didenda

SEREMBAN: Seorang pegawai Jabatan Imigresen didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah melepaskan warga asing tanpa melalui prosedur yang betul, antara 2019 dan 2020.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Rushdi Zainal, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Pegawai Imigresen Gred KP19 bertugas di Jabatan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa diberikan wang suapan RM1,000 sebagai balasan melepaskan warga asing tanpa melalui prosedur yang betul.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh diberikan suapan RM2,300 bagi kesalahan sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Islamic Berhad, Jalan BBN 1/2F Bandar Baru Nilai pada 12 Ogos 2019 dan 20 Julai 2020.

Bagi kedua-dua perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009

Sementara itu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman denda RM15,000 terhadap Mohamad Izhmi Mohamad Noor, 35, yang juga bertugas di Jabatan Imigresen KLIA 2.

Tertuduh didakwa menerima rasuah RM10,000 daripada seorang lelaki tanpa suatu balasan pada Oktober 2020 di sebuah kedai di Kampung Jijan, Nilai di sini.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara 10 bulan, jika gagal membayar denda.

Sumber : Berita Harian


Hit : 1685