Berita Menarik

Bekas pegawai tugas-tugas khas Ahli Parlimen ditahan SPRM

ALOR SETAR: Seorang bekas pegawai tugas-tugas khas kepada seorang Ahli Parlimen di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap kes penyelewengan wang berjumlah RM140,600.

Sumber memberitahu, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku antara Ogos 2019 hingga Januari 2020 apabila suspek didakwa telah menyeleweng peruntukan khas dari Jabatan Perdana Menteri bagi perbelanjaan di kawasan Ahli Parlimen terbabit.

“Terdapat laporan terhadap suspek yang mendakwa dia menggunakan tujuh invois palsu untuk menuntut bayaran berjumlah antara RM9,500 hingga RM34,000 bagi menuntut bayaran bagi pelbagai kerja dan pembekalan,” katanya di sini.

Difahamkan laporan berhubung perkara itu dibuat sendiri oleh Ahli Parlimen tersebut setelah menyedari akan kejadian itu.

“Suspek yang kini bekerja sendiri akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap lelaki berkenaan.

Bagaimanapun beliau enggan banyak mengulas memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.

Sumber : Utusan

Hit : 1940