Kolumnis@SPRM

Antirasuah, Seni Dan Kebudayaan

Oleh
DATUK RAZIM MOHD NOOR
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Rasuah merupakan masalah global yang perlu ditangani secara berkesan. Kegagalan menangani jenayah ini boleh memberi kesan buruk meliputi aspek ekonomi, sosial, keselamatan dan pembangunan negara.

Malah, sejarah telah melaporkan bahawa rasuah antara penyebab kejatuhan kesultanan Melayu Melaka, dan beberapa kerajaan lain di dunia. Sebagaimana, kita sedia maklum, usaha pencegahan rasuah di negara ini diterajui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Seperti mana diperuntukkan melalui Akta SPRM 2009, tiga strategi digunakan dalam menjalankan fungsinya iaitu penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

Strategi penguatkuasaan dilaksanakan dengan mengesan sebarang perbuatan rasuah, seterusnya menjalankan siasatan terhadap kesalahan tersebut. Strategi pencegahan pula membabitkan pemeriksaan dan memberi khidmat nasihat bagi menutup segala ruang berlakunya rasuah dalam amalan, sistem dan prosedur kerja. Melalui strategi pendidikan pula, SPRM melaksanakan program kesedaran bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya rasuah serta mendapatkan sokongan mereka dalam memerangi jenayah keji itu.

Pendidikan antirasuah yang berkesan mampu membentuk masyarakat yang bencikan jenayah rasuah. Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang amat diperlukan oleh negara. Kempen antirasuah mesti dilaksanakan secara berterusan dan mencapai semua peringkat masyarakat. Bentuk program juga perlu kreatif agar sentiasa relevan dengan peredaran zaman dan sesuai dengan kemajuan teknologi.

Secara umumnya, SPRM mengguna pakai dua pendekatan dalam mendidik masyarakat iaitu program bersemuka dan hebahan melalui platform media. Dari semasa ke semasa, SPRM sentiasa meneroka bidang-bidang baharu dalam mendidik masyarakat mengenai jenayah rasuah. Pada masa sama, aktiviti tradisi SPRM diteruskan, seperti ceramah, seminar dan forum. Kepelbagaian program pendidikan memastikan capaian yang lebih luas dalam menyampaikan mesej antirasuah dan menambahkan keberkesanan setiap program.

Salah satu usaha dalam pendidikan antirasuah adalah melaksanakan program berasaskan minat atau interest-based program. SPRM percaya bahawa menyulam mesej integriti dan antirasuah dalam aktiviti yang mempunyai peminatnya yang tersendiri mampu menembusi kumpulan yang lebih khusus. Aktiviti seni dan kebudayaan mempunyai peminat yang menyeluruh.

Lebih menarik, aktiviti ini amat dekat dengan komuniti tanpa mengira usia. Setiap kaum di Malaysia mempunyai budaya tersendiri yang unik. Budaya ini sentiasa dijaga agar tidak tercemar akibat peredaran masa.

Program antirasuah melalui aktiviti seni dan kebudayaan juga mampu mencapai satu daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) iaitu, “Mendekati golongan belia yang berada di luar sistem pendidikan formal melalui kelab, persatuan dan organisasi belia untuk menerapkan nilai integriti, tadbir urus dan antirasuah.” Salah satu kaedah untuk mendekati kumpulan belia ini adalah melalui aktiviti berdasarkan minat mereka.

Berdasarkan rasional ini, SPRM menggunakan pendekatan melalui aktiviti seni dan kebudayaan untuk menanamkan budaya benci rasuah.

SPRM pernah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Pertandingan Dikir Barat Bebas Rasuah. Ini merupakan pendekatan kepada masyarakat supaya menyampaikan mesej antirasuah. Rakaman pertandingan telah dimuat naik ke saluran YouTube dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

SPRM juga pernah menggunakan persembahan teater untuk menyampaikan mesej antirasuah secara santai, menarik dan sinis. Teater Bahara Emas dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Istimewanya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan untuk mencemar duli menyaksikan teater berkenaan. SPRM juga dengan kerjasama Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut mempersembahkan Teater Muzikal Semarak Pertiwiku. Persembahan di dua lokasi iaitu di Dewan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching dan Istana Budaya, Kuala Lumpur telah berjaya menarik kehadiran ramai pemimpin dari kalangan ahli politik serta ketua agensi kerajaan. Rakaman teater muzikal ini juga telah dimuat naik ke laman YouTube.

SPRM akan terus memperhebatkan penyampaian mesej antirasuah melalui aktiviti seni dan kebudayaan. Pada 4 Mei 2021, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki melancarkan kerjasama SPRM dan JKKN untuk menganjurkan Kolokium Antirasuah ‘Adat Pepatih Melingkari Hidup Berintegriti’ di Negeri Sembilan; Pertandingan Battle Of The Bands ‘Tak Nak Rasuah’ di Selangor; dan Pertandingan Dondang Sayang Pantun Bertema Antirasuah di Melaka.

Strategi SPRM mempelbagaikan pendekatan dalam mendidik masyarakat dilihat berkesan. Berdasarkan Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh SPRM, dalam tempoh tiga tahun, tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun, iaitu 72.5% (2018), 74.3% (2019) dan 77.7% (2020).

Begitu juga dengan tahap kesediaan, kesanggupan dan kerjasama masyarakat yang meningkat dalam tempoh tiga tahun. Untuk rekod, setiap tahun, SPRM menjalankan kajian ini khusus untuk menilai keberkesanannya dalam aktiviti penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

Mendidik masyarakat mengenai antirasuah memerlukan usaha yang konsisten dan menyeluruh, sama seperti usaha dalam memelihara tradisi budaya warisan. Usaha yang kecil tetapi berterusan mampu untuk membuahkan hasil yang menakjubkan.

Komitmen yang tinggi daripada semua pihak adalah kunci utama demi memastikan masyarakat mampu berdaya saing dan menikmati kemakmuran hidup.

SPRM memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak tidak kira agensi kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membanteras jenayah rasuah. Pepatah Melayu ada menyebut, ‘seikat bagai sirih, serumpun bagai serai’. Justeru, penglibatan pelbagai pihak pasti memberi faedah yang lebih besar kepada negara.


Hit : 472