Berita Menarik

Suapan projek perumahan, 2 pegawai daerah, kontraktor ditahan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pegawai daerah di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.

Menurut sumber, kedua-dua mereka yang juga bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor, masing-masing berusia 47 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan malam tadi.

Seorang kontraktor yang terlibat turut ditahan bagi membantu siasatan kerana merasuah kedua-dua suspek bagi membolot projek yang ditawarkan di dua Majlis Perbandaran diketuai kedua-dua YDP itu, menurut sumber.

Sumber berkata, kontraktor terbabit berusia 42 tahun dipercayai mengawal 16 syarikat yang didaftarkan atas nama saudara dan pekerjanya bagi mendapatkan projek di dua Majlis Perbandaran itu.

Menurut sumber, projek yang dimonopoli dianggarkan mencecah nilai jutaan ringgit sejak 2018 hingga 2021.

Sumber itu berkata, bagi setiap projek yang diperoleh, kedua-dua bekas YDP berkenaan menerima habuan sebanyak 5% daripada nilai projek.

Selain itu, sumber menjelaskan pelbagai bentuk suapan diberikan kepada kedua-dua suspek termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai berjumlah RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan.

Beberapa siri serbuan dibuat di sekitar Selangor sejak awal pagi semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan diluluskan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 23 hingga 28 Julai.

Sumber : Free Malaysia Today


Hit : 3661