Berita Menarik

Doktor veterinar didakwa guna kedudukan dapatkan suapan untuk suami

SHAH ALAM – Seorang doktor veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan termasuk pertuduhan pilihan menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan untuk suaminya berjumlah RM58,617 antara Ogos 2019 hingga Jun 2020.

Tertuduh, Norhamizah Abdul Hamid, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Norhamizah didakwa telah menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi suaminya, Iqramudy Sumin, 39, sebagai pemilik syarikat Iqmiz Enterprise apabila membuat syor memilih syarikat itu melaksanakan kerja membekal peralatan klinik bergerak veterinar dan pembekalan peralatan makmal dengan nilai keseluruhan RM39,657.

Ini dilakukan menerusi Permohonan Pesanan Tempatan/Inden bagi Peruntukan Mengurus/Pembangunan pada 30 Ogos dan 11 November 2019.

Tertuduh juga yang merupakan pegawai veterinar gred GV44 turut dituduh memilih syarikat sama bagi kerja-kerja membekalkan makanan, vitamin dan syampu kucing serta anjing bernilai RM18,960 menerusi Borang Prestasi Pembekal yang dikepilkan bersama Permohonan Pesanan Tempatan/Inden bagi peruntukan mengurus/pembangunan pada 16 Jun 2020.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor yang terletak di Seksyen 15, di sini.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi atas kesalahan dibawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24(1) Akta yang sama.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu juga didakwa atas tiga pertuduhan pilihan telah memperoleh suapan berjumlah RM58,617 untuk Iqramudy sebagai ganjaran melalui pengaruh peribadinya dengan memberi kemudahan untuk menjalankan kerja-kerja rasmi apabila membuat syor memilih syarikat Iqmiz Enterprise untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat-syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah.

Peguam Ramesh Lacesmanee mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan RM5,000 memandangkan penjamin iaitu suami tertuduh hanya bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan tidak menentu dan bergantung pada gaji atau imbuhan harian.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes pada 28 Ogos depan.

Sumber : Kosmo


Hit : 2627