Berita Terkini

Webinar Memerangi Rasuah Membabitkan Aset Besar

PUTRAJAYA, 5 Julai - Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ialah skandal rasuah yang paling serius pernah berlaku di Malaysia membabitkan sebuah syarikat pembangunan strategik yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2015.


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, Malaysia adalah hub penyiasatan terhadap skandal rasuah terbesar ini. Oleh itu, Malaysia telah membentuk Pasukan Petugas 1MDB yang terdiri dari SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia.


“Skandal 1MDB merupakan skandal kontroversi rasuah paling serius yang pernah berlaku di negara ini yang melibatkan penyelewengan dan pengubahan wang haram berjumlah berbilion-bilion ringgit dari akaun syarikat dengan keuntungan dari rasuah dan harga bon yang melibatkan pernyataan palsu.


“Pada 29 Januari 2019, kerajaan telah merancang Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 sebagai dokumen utama Kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah dan memperkasakan integriti,” ujarnya.


Tambah beliau, NACP yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadi pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.


NACP turut menghendaki anggota pentadbiran kerajaan termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan ahli parlimen mengisytiharkan aset mereka secara terbuka dan mengesyorkan undang-undang baru dalam arena politik.  


Malah, NACP menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah dan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas di kalangan ahli politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan. 


Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan dalam ‘Webinar On Combating Corruption Involving Vast Quantities Of Assets’ (Webinar Memerangi Rasuah Membabitkan Aset Besar) yang diadakan secara maya dengan membentangkan topik “Sharing of experience in upholding independence during investigation of 1MDB case: the existence of necessary powers, independence, and resources to investigate and prosecute corruption involving vast quantity of assets.”


Selain Datuk Seri Azam, turut menyampaikan ucapan pada sesi berkenaan adalah Anti-Corruption Advisor United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), Francesco Checci; Prosecutor Corruption Eradication Commission (KPK), Muhammad Asri Irwan; U4 Anti-Corruption Resource Centre, Sofie Schutte; Transparency International Indonesia, Bivitri Susanti serta Program Coordinator UNODC, Putri Wijayanti.


Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, TPj Mohammad Zamri Zainul Abidin dan PKPj Premraj A/L Isaac Dawson Martin Victor mewakili Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM.


Hit : 3303