Berita Terkini

Perkongsian Kemahiran Dan Pengetahuan Eratkan Kerjasama Antarabangsa Perangi Rasuah

PUTRAJAYA, 30 Jun – Perkongsian kemahiran dan pengetahuan dapat mengeratkan hubungan kerjasama antarabangsa bahkan ia menjadi faktor penting dalam usaha memerangi jenayah rasuah.

Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), TPj Mohd Hafaz Nazar semasa menyampaikan ucapan penutupan berkata, usaha memerangi jenayah rasuah yang berkesan memerlukan pendekatan inovatif kerana jenayah ini dapat berpindah dengan mudah melintasi sempadan negara seperti syarikat multinasional yang mewujudkan rangkaian cawangan di seluruh dunia.

“Usaha memerangi rasuah merupakan komitmen untuk memelihara masa depan semua lapisan masyarakat, komuniti dalam sektor awam dan swasta, institusi pendidikan dan keagamaan, organisasi bukan kerajaan serta lain-lain.

“International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) menjadi platform dalam berkongsi isu rasuah dengan menampilkan penceramah tempatan, serantau dan antarabangsa yang merupakan tenaga pakar dalam bidang masing-masing,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan “The 2nd IAACA - MACC International Training Programme” yang berlangsung secara maya selama dua hari. Latihan antarabangsa tersebut dianjurkan oleh SPRM bersama IAACA dan disertai oleh lebih kurang 400 peserta dari 50 negara yang mewakili 64 buah organisasi.

Program latihan ini menampilkan penceramah-penceramah antarabangsa dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat yang membentangkan usaha dan pengalaman mereka memerangi rasuah di negara masing-masing.

SPRM turut berkongsi sesi dengan menampilkan pegawai-pegawainya dari sektor operasi dan pencegahan. Antaranya Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, TPj Mohammad Zamri Zainul Abidin yang telah membentangkan topik berkaitan kes 1MDB yang bertajuk, ‘Exposing the Unseen Hands: Tackling Concealment of Beneficial Ownership – Malaysian Experience’.

Selain itu, Ketua Pegawai Integriti Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), TPj Saiful Ezral Ariffin menghuraikan topik berkaitan etika perniagaan dan perhubungan di antara sektor awam dan swasta yang bertajuk ‘Development and Strengthening of Business Ethics- Partnership with Public and Private Sector’. Manakala Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM, KPKPj Mohamad Tarmize Abdul Manaf pula membentangkan tajuk ‘Anti-Corruption Community Education and Engagement during the COVID -19 Pandemic’ iaitu perkongsian pengalaman, isu serta cabaran dalam pendidikan antirasuah sewaktu tempoh pandemik.

Keseluruhan sesi untuk dua hari program telah dimoderatorkan oleh PKPj Premraj A/L Isaac Dawson Martin Victor yang juga selaku Ketua Penyelaras Program.

Hit : 2930