Kes-kes Menarik

Penolong Pengarah, Timbalan Pengarah SKMM berdepan lima pertuduhan

Kota Kinabalu: Dua pegawai tinggi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) di negeri ini berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.


Kedua-dua tertuduh, Sufri Hassan Mindar, 35, dan Syahruddin Muhd Saleh, 40, bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.


Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.


Sufri yang berdepan dua pertuduhan didakwa sebagai Penolong Pengarah SKMM cawangan Beaufort menggunakan dokumen palsu sebagai tulen untuk membuat tuntutan berjumlah RM4,900.


Selain itu, Sufri turut berdepan pertuduhan alternatif iaitu membuat tuntutan palsu kononnya sudah mengeluarkan perbelanjaan penyewaan sistem audio, kelengkapan elektrik dan hamper untuk Festival Begandang Beaufort 2013.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Sufri diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan bayaran pendahuluan RM4,000 dan seorang penjamin tempatan.


Sufri turut diarahkan melapor diri kepada SPRM sekali setiap dua bulan sehingga sebutan semula kes pada 16 Ogos depan.


Manakala Syahruddin pula berdepan tiga pertuduhan kerana membuat tiga tuntutan palsu berjumlah keseluruhan RM3,990 untuk sebuah program di Parlimen Beluran pada tahun 2014.


Mahkamah kemudiannya memutuskan kebenaran ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan bayaran pendahuluan RM5,000 dan seorang penjamin tempatan.


Syahruddin turut diarahkan melapor diri kepada SPRM Tawau sekali setiap dua bulan sehingga sebutan semula kes pada 16 Ogos depan serta diingatkan supaya tidak menganggu saksi pendakwaan.


Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rekhraj Singh manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar Datuk Abdullah.

Sumber : Harian Metro

Hit : 518