Berita Menarik

Pesawah dipenjara dan denda RM10,000

Seorang pesawah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar setelah mengaku bersalah memberi rasuah RM3,000 kepada seorang pegawai polis, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ruzaini A. Halim, 46, turut diperintah menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan oleh Hakim, Murtazadi Amran sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim kira-kira pukul 5 petang, 28 Februari 2018.

Suapan itu didakwa dilakukan sebagai balasan kepada seorang pegawai polis berpangkat inspektor supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Mengikut fakta kes, pegawai polis itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, telah mengetuai satu operasi bersepadu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi melakukan serbuan di premis terlibat pada tarikh tersebut.

Serbuan dilakukan mendapati terdapat aktiviti penjualan air ketum di premis berkenaan dengan tertuduh kemudiannya menghulurkan RM3,000 untuk meminta supaya kes tersebut ‘diselesaikan’.

Pegawai polis terbabit telah memberi amaran, namun tertuduh tetap menghulurkan wang itu menyebabkan pegawai polis berkenaan terus menangkapnya kerana didakwa melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan rasuah.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohamad Fauzee Azizan mengikut 214 Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Utusan Malaysia


Hit : 1723