Berita Menarik

Penolong Pegawai Perubatan dituduh terima suapan

Seorang pegawai kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, terhadap 14 tuduhan menggunakan kedudukan untuk menerima suapan berjumlah RM27,901, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Zamry Yazid, 46, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan daerah Jasin membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elisabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zamry didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dengan terbabit dalam permohonan penyediaan sebut harga dan pembekalan peralatan perubatan.

Perbuatan itu dituduh dilakukan antara 9 Oktober 2018 hingga 12 November tahun sama.

Dalam tempoh itu, tertuduh didakwa memperakukan tuntutan bayaran kepada Syarikat Pella Maju Enterprise milik saudaranya, Norfazilah Yazid melalui baucar Arahan Pembayaran bagi perbekalan pelbagai peralatan perubatan ke Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2007.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2105