Berita Menarik

Pengarah syarikat, penjawat awam dicekup SPRM

Tiga lelaki termasuk dua pengarah syarikat ditahan hari ini bagi membantu siasatan kes memberi dan menerima rasuah berhubung pelaburan syarikat pengeluaran produk pelitup muka bernilai keseluruhan kira-kira RM9 juta.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang penjawat awam berusia dalam lingkungan 40-an hingga 59 tahun ditahan reman selama seminggu sehingga Isnin ini di Mahkamah Sesyen/Majistret di sini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, perintah reman itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab. Karim @ Isa.

“Siasatan awal mendapati dua pengarah syarikat terbabit disyaki memberi rasuah kepada seorang penjawat awam pada tahun lalu.

“Ia dipercayai balasan mencadangkan pelaburan dalam usahasama dengan syarikat tersebut untuk pengeluaran produk pelitup muka dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM9 juta,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, kesemua suspek hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini antara pukul 2 petang hingga 4 petang pada semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sumber : Kosmo

Hit : 1986