Berita Menarik

Sabitan kes rasuah bekas KSU

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta terhadap bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman, atas tuduhan bersubahat dengan anak sulungnya menerima rasuah RM627,636 pada 2016.

Keputusan itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin menolak rayuan Mohd Arif, 64, dan anaknya, Ahmad Zukhairi, 39, serta mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati mereka bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta ke atas Ahmad Zukhairi atas empat tuduhan meminta dan menerima suapan berhubung kesalahan sama.

Mereka turut diperintah menjalani hukuman penjara tambahan masing-masing tiga tahun dan 10 tahun jika gagal membayar denda.

Pada prosiding itu, mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM500,000 kepada RM800,000 seorang.

Terdahulu, Aslam dalam penghakimannya, berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, tidak terkhilaf ketika mensabitkan kedua-dua tertuduh.

Mahkamah juga berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen yang terkandung dalam pertuduhan.

Pada awal prosiding, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili kedua-dua perayu, memohon pelaksanaan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, membantah penangguhan bayaran denda dengan alasan ia akan menyebabkan berlaku banyak permohonan seumpama itu di mahkamah rendah.

"Pihak pembelaan perlu membuktikan wujud keadaan istimewa bagi membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan denda," katanya.

Pada 14 November 2018, Azura menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Arif dan Ahmad Zukhairi selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mohd Arif didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhairi menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, di sini, antara jam 4 petang hingga 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi didakwa menerima suapan wang tunai dalam matawang dolar Singapura bagi jumlah sama daripada Pengarah Wazlina Sdn Bhd (Wazlina), Mohd Safian Mohd Salleh, pada masa, tarikh dan tempat sama.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberikan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hidbrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn Bhd (Eramaz).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Pencegahan Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd Safian sebagai upah untuknya dua beranak itu kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya pada 17 Mac 2016.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn Bhd mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning jam 8 pagi, 18 Ogos 2016 dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada September 2016.

Sumber : Berita Harian

Hit : 3279