Kolumnis@SPRM

Rasuah penjawat awam: Pertimbang undang-undang Liabiliti Jenayah Korporat sektor awam

Oleh :
Datuk Seri Akhbar Satar
Pengerusi
Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia



SEPANJANG minggu ini kita dikejutkan dengan penahanan 52 individu majoritinya membabitkan anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Kakitangan JPJ terbabit disyaki menerima sogokan bulanan untuk melindungi kegiatan pengusaha lori khususnya yang melakukan kesalahan berkaitan muatan berlebihan.


Kegiatan rasuah sebegini mungkin sudah lama berlaku. Bukan sahaja di JPJ, tetapi di jabatan kerajaan lain. Namun ia tidak berjaya diambil tindakan disebabkan kurangnya kerjasama pimpinan jabatan terbabit.


Walaupun banyak serbuan dan tangkapan dilakukan SPRM, mereka ini seperti tidak serik dan tidak takut, menyebabkan kegiatan terus berleluasa. Ia menunjukkan masalah integriti bukan sahaja terjadi dalam kalangan penjenayah, tetapi juga penguat kuasa.


Rasuah berlaku pada pelbagai peringkat. Kuasa sentiasa digadai dan dibayangi godaan rasuah. Masalah integriti membelenggu penjawat awam, terutama agensi penguat kuasa bukan sahaja membabitkan kakitangan bawahan, bahkan pegawai atasan.


Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) mengakui gejala rasuah bersistematik ini berlaku dan rangkaian kutipan wang biasanya membabitkan pegawai daripada peringkat bawah sampailah ke atas.


Mengikut teori fraud, rasuah berlaku disebabkan tiga faktor - mengejar peluang melalui kuasa yang ada, tekanan hidup disebabkan berhutang serta berjudi dan proses rasionalisasi iaitu apabila melihat orang atas melakukan rasuah, orang bawahan juga turut melakukan perkara sama.


Namun suatu yang menarik untuk dilihat dalam kes yang berlaku sehari dua ini, apabila JPJ sendiri bekerjasama dengan SPRM untuk membongkar kegiatan rasuah membabitkan anggota dan pegawainya.


Ia suatu manifestasi yang jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan salah laku pegawai dan anggota yang boleh menjejaskan reputasi agensi dan nama baik JPJ.


Operasi Sukat ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu semua pihak, terutama warga JPJ sendiri dan petunjuk contoh oleh Ketua Pengarahnya sendiri yang sentiasa istiqamah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.


Hakikatnya, SPRM perlukan kerjasama sebegini untuk membanteras rasuah. Ketua jabatan tidak harus melindungi pegawai atau kakitangan terbabit rasuah kerana mereka ini ibarat 'parasit' yang bukan sahaja merompak hasil kerajaan, bahkan merosakkan imej jabatan dan negara.


Selain JPJ, pimpinan Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara yang sangat membantu SPRM dalam mengurangkan rasuah dalam agensi masing masing. Ini permulaan yang sangat baik dan patut dipuji.


Sepatutnya jabatan lain juga jadikan ia sebagai contoh kerana usaha membanteras rasuah dalam agensi penguat kuasa bukan mudah dibongkar tanpa maklumat dalaman dan kerjasama bersungguh-sungguh ketua jabatan.


Namun realitinya, kerjasama sebegini bukan suatu yang mudah untuk diperoleh. Ada yang lebih rela mempertahankan pegawai dan menjaga imej jabatan. Adakalanya dalam mempertahankan, ada yang mereka sendiri tumpang sekaki.


Untuk JPJ, penekanan kepada usaha pencegahan harus diberi. Apabila rasuah masih berlaku, ia membuktikan kurangnya atau tiada langsung keutamaan kepada mekanisme pencegahan.


Datuk Seri Azman Ujang, seorang tokoh pejuang antirasuah sentiasa berpandangan dan percaya bahawa tangkapan adalah tindakan paling mudah, tetapi hakikatnya rasuah itu telah pun berlaku.


Pencegahan di lubuk rasuah dalam kalangan agensi kerajaan, terutama sekali agensi penguat kuasa wajib diperkasa untuk mengurangkan kegiatan rasuah dalam jangka masa panjang. Tangkapan yang dilakukan lebih kepada strategi jangka pendek.


Bagi ketua jabatan, pemantauan dan pemeriksaan mengejut ke atas pegawai serta anggota perlu dilakukan dari semasa ke semasa bertepatan dengan konsep turun padang.


Beri perhatian pada red flag dari segi prestasi, sikap dan tingkah laku terutama mereka yang tidak bertanggungjawab, menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.


Apa saja sistem dan teknologi terkini digunakan tidak akan efektif jika pengendalinya tidak mempunyai integriti.


Realitinya, di sebalik kakitangan yang rasuah itu, ramai lagi anggota dan pegawai yang berintegriti. Hal sama turut berlaku dalam JPJ. Mereka ini turut terasa bahangnya kesan dipandang serong disebabkan perbuatan segelintir rakan seperjuangan yang tidak amanah.


Apa yang jelas, tindakan tatatertib di peringkat jabatan setakat ini seperti kurang taringnya untuk mendidik penjawat awam yang melakukan kesalahan.


Mungkin kerajaan boleh mempertimbang pelaksanaan peruntukan ala kesalahan Liabiliti Jenayah Korporat kepada sektor awam seperti misconduct of public office yang dipraktikkan di Hong Kong yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara kepada pesalah.


Bukan sahaja salah laku dalam kalangan penjawat awam, malah ketua jabatan yang dengan sengaja mengabaikan pelaksanaan tugas serta tanggungjawab atau melakukan salah laku jenayah boleh dikenakan tindakan.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 3567