Berita Terkini

Pelancaran Pelan Antirasuah SPRM 2021-2025 Serta Kod Etika Dan Tatakelakuan SPRM

PUTRAJAYA, 25 Feb. –Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah SPRM (PARAS) 2021-2025 serta Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM secara maya sebagai panduan kepada warganya dalam menjalankan tugas.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, PARAS adalah usaha SPRM untuk menangani perlakuan jenayah rasuah dan pelanggaran integriti oleh warga kerjanya serta memperkukuhkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan SPRM kepada masyarakat.

"Langkah kawalan sedia ada dan kawalan tambahan melalui pembangunan PARAS juga diharapkan dapat membantu SPRM mencapai visi, misi dan objektifnya dengan lebih berkesan".

"PARAS hendaklah dijadikan panduan kepada seluruh warga SPRM untuk memperkukuhkan nilai jati diri daripada terjebak dengan jenayah rasuah serta pelanggaran integriti," ujar beliau.

Selain itu, penambahbaikan Kod Etika dan Tatakelakuan SPRM telah digubal semula untuk menggalakkan akauntabiliti dan memantapkan integriti dalam kalangan warga SPRM ke arah pencapaian prestasi kerja yang cemerlang.

Beliau juga meletakkan harapan yang tinggi terhadap warga SPRM untuk memastikan organisasi ini bersih dan mengharapkan PARAS tidak menjadi simpanan, koleksi atau satu dokumen sahaja tetapi melaksanakan tindakan pengukuhan integriti secara menyeluruh bagi memastikan SPRM adalah ‘whiter than white’.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme) SPRM, Dato' Junipah Wandi; Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan & Penyelidikan SPRM, TPj Mohd. Hafaz Nazar serta Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme SPRM, KPKPj Ismajuri Ismail.


Hit : 2556