Berita Terkini

Sebar Mesej Antirasuah Secara Berkesan : SPRM dan Media Perlu Jalin Kerjasama Erat

Putrajaya, 24 Feb. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak media perlu menjalin kerjasama erat agar mesej antirasuah dapat disebar secara meluas dan berkesan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kerjasama antara SPRM dan media perlu diteruskan kerana media memainkan peranan penting untuk membantu SPRM dalam membentuk pemikiran rakyat supaya mereka mengetahui ancaman rasuah dan kesannya terhadap agama, bangsa dan negara.

“Pihak media boleh membuat liputan berita berhubung program-program pencegahan dan pendidikan masyarakat yang telah dan sedang dilaksanakan seperti program Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di Institusi Pengajian Tinggi, program Wira Anti Rasuah (WAR) dalam kalangan pelajar sekolah, program pendidikan antirasuah melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian serta program penyampaian mesej antirasuah menerusi platform e-sukan.

“Selain itu, inisiatif yang terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 juga perlu didedahkan kepada masyarakat supaya mereka memahami inisiatif yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) sebelum ini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Luncheon Talk Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Pengarang Media Bahasa Melayu yang berlangsung di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Tambah beliau, usaha-usaha menyokong SPRM dalam membanteras jenayah rasuah seperti inisiatif akhbar Sinar Harian yang menubuhkan Sinar Rasuah Busters dengan mengajak masyarakat mendukung hasrat memerangi gejala rasuah di negara ini amat dialu-alukan.

Turut serta dalam majlis ini ialah Ketua Pengarang dari Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Media Mulia Sdn. Bhd dan Sinar Karangkraf Sdn.Bhd.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd. Jamil; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya; Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd. Razali dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Kamaruddin M. Ripin.


Hit : 2173