Kolumnis@SPRM

Tuhan dan rakyat memerhati: Bajet covid-19 wajib diurus secara telus

Oleh :
Datuk Seri Akhbar Satar
Pengerusi
Persatuan Pemeriksaan Fraud Bertauliah Malaysia

PERTUBUHAN Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menyarankan kerajaan di seluruh dunia agar memastikan akauntabiliti diamalkan kerana mereka telah memperuntukkan sejumlah dana yang banyak bagi menangani pandemik COVID-19.

Projek Laporan Rasuah dan Jenayah Terancang (OCCRP) melaporkan bahawa beberapa pemimpin politik telah bergantung kepada pandemik ini bagi meningkatkan kuasa mereka, mengenakan sekatan terhadap maklumat yang sukar untuk dicapai, menghapuskan keperluan ketelusan daripada perolehan awam dan mengelakkan mekanisme akauntabiliti awam.

Seperti negara lain, Malaysia telah mengumumkan inisiatif fiskal bagi menangani isu-isu penting seperti peningkatan pengangguran, meningkatkan program kebajikan sosial dan mencapai keperluan segera kesihatan. Dalam kesamaran ekonomi ini, masyarakat amat mengharapkan bantuan daripada kerajaan.

Berdasarkan KPMG, sehingga Disember 2020, Kerajaan Malaysia telah membuka pelbagai pakej yang berjumlah RM305 bilion bagi menampung impak COVID-19.

Antaranya termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi (RM20 bilion), pakej PRIHATIN (RM230 bilion), Tambahan Pakej PRIHATIN (RM10 bilion), Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (RM35 bilion) dan Pakej Kita PRIHATIN (RM10 bilion).
Dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang tidak dirancang dan disangka ini, negara-negara selalunya akan melonggarkan kaedah sedia ada untuk perolehan awam serta semak dan imbang bagi menghantar bantuan dan pertolongan secepat mungkin.

Kajian terdahulu oleh Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah (ACFE) menunjukkan bahawa terdapat beberapa penipuan yang secara umum akan meningkat ketika musim kemelesetan ini.

Pandemik ini menunjukkan bahawa hal kecemasan dan tindak balas cepat selanjutnya akan membuka peluang untuk pencabulan integriti, terutamanya penipuan dan rasuah.

Disebabkan penglibatan peruntukan yang banyak, ini juga boleh menyebabkan ketirisan besar yang menyebabkan terjejas teruk keberkesanan tindakan kerajaan yang sepatutnya.

Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) menyatakan bahawa perolehan perubatan dan bekalan dalam sistem kesihatan merupakan bahagian yang paling terdedah terhadap rasuah dan penipuan.

Disebabkan terdapat mekanisme singkat yang diletakkan semasa pandemik ini bagi mendapatkan barangan dan perkhidmatan penting, individu-individu korup akan cuba menggunakan modal isu global tentang kekurangan kedua-dua bekalan perubatan dan kesihatan. Mereka melihat perkara ini sebagai peluang keemasan untuk mengambil kesempatan krisis semasa atas perolehan peribadi mereka.

Apakah faktor yang menyumbang kepada penipuan ini?

Segi Tiga Penipuan Cressey menyatakan bahawa terdapat tiga elemen yang membolehkan penipuan untuk berlaku. Tekanan yang meningkat daripada keperluan mendapatkan tindakan pantas, campur tangan politik dan tekanan kewangan peribadi disebabkan elemen seperti tabiat gaya hidup atau mewah.

Peluang termasuk kawalan dalaman lemah, suara lemah di peringkat atasan dan terlalu banyak kuasa budi bicara yang datang bersama pangkat. Rasional dalam melihat bahawa semua orang melakukan perkara yang sama dan percaya bahawa tindakan mereka betul.

Disebabkan penglibatan jumlah wang pembayar cukai yang banyak, apakah yang patut dilakukan oleh kerajaan bagi mengelakkan ketirisan dalam perolehan awam dan proses penghantaran serta memastikan bahawa pencapaian yang dinyatakan tercapai secara berkesan?

Terdapat kaedah jangka pendek dan jangka panjang yang boleh diambil bagi mencapai perkara di atas, mengelakkan masalah daripada menjadi lebih teruk dan untuk bersedia dengan lebih baik bagi menghadapi krisis akan datang.

Dengan mengenal pasti bahawa penguatkuasaan ketelusan bajet amat sukar semasa krisis, ia amat penting bahawa kaedah teguh dan telus bagi peruntukkan bajet tidak dipintas atau terjejas.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) memberi amaran bahawa ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh hilang dalam memberi tindak balas pantas terhadap Covid-19. Meletakkan kaedah dan akauntabiliti yang betul bukan sahaja dapat mengelakkan rasuah, tetapi juga untuk membina semula kepercayaan.

Ketelusan kerajaan dan peningkatan institusi pengawasan ialah asas bagi memastikan pengurusan kontrak mempunyai susunan akauntabiliti dalaman yang jelas dan teguh. Kontrak sepatutnya diberikan kepada kontraktor yang mempunyai bukti kebolehpercayaan dan rekod yang baik dari segi teknikal dan kewangan.

Usaha wajar yang mencukupi perlu diambil apabila memilih kontraktor bagi mengurangkan potensi risiko, terutamanya kerugian daripada harga yang melampau dan penangguhan projek disebabkan kurang pengalaman. Ia harus diambil berat bahawa rakyat mengharapkan nilai bagi wang daripada kontrak kerajaan walaupun semasa waktu krisis.

Dari segi sosioekonomi, kerajaan perlu menyediakan sokongan fiskal bagi melindungi pemegang taruh yang terkesan secara terus ketika pandemik ini. Mereka yang terjejas adalah pekerja gaji harian, syarikat kecil dan sederhana, keluarga berpendapatan rendah dan komuniti yang terdedah.

Dalam hal ini, Ketua Audit Negara dan beberapa auditor dalaman yang lain di sektor awam perlu terus melakukan tugas mereka tanpa menjejaskan prinsip mereka.

Seperti yang diamalkan dengan perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan Covid-19, mereka perlu melapor mana-mana yang tidak menepati dalam pemberian dan pembayaran wang daripada pakej yang berkaitan dengan Covid-19, terutamanya mereka yang terlibat dengan agensi barisan hadapan.

Penelitian ini boleh disokong lagi dengan pemantauan dan pelaporan oleh NGO dan media sekiranya terdapat jaminan kebebasan media dan capaian mudah bagi maklumat relevan.

Kita semua perlu memainkan peranan sebagai kakitangan awam dan rakyat dengan melakukan tugas kita dengan tanggungjawab, integriti dan amanah.

Ketiadaan akauntabiliti dan integriti organisasi membuka pintu kepada rasuah yang menyebabkan kos yang tinggi kepada semua yang terlibat. Kita tidak mahu mengulangi kes-kes profil tinggi terdahulu yang telah menyebabkan dan masih merosakkan negara kita.

Walaupun sudah berdekad berperang dengan ancaman ini, rasuah masih berleluasa dan yang sedih ialah tiada cahaya yang hampir di hujung terowong.

Dalam analisis akhir, mereka yang hidup takut kepada Tuhan berdasarkan kepada amalan terbaik agama, tidak akan bersetuju atau menyokong rasuah.

Selain itu, terdapat juga mereka yang mengaku takut kepada Tuhan namun mendekatkan diri mereka dengan rasuah dan menyalahguna kuasa mereka.

Mereka akhirnya akan bertanggungjawab dengan Yang Maha Kuasa.

Namun begitu, ia merupakan tugas hakiki kita sekarang untuk menolak sepenuhnya mereka yang bersalah dan memastikan bahawa sistem yang sedia ada dapat menghukum mereka tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Sumber : BEBAS NEWS

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.
Hit : 2282