Kolumnis@SPRM

Cabaran dan Penawar

KPKPj Nazli Rasyid Sulong

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia



Menurut cendekiawan dan penulis Inggeris CS Lewis, “integrity is doing the right thing, even when no one is watching”. Warga kerja yang berintegriti adalah aset penting yang dapat menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi dan negara.


Integriti merupakan nadi utama yang berperanan sebagai penggerak kepada setiap individu yang cekap, kompeten dan berwibawa, seterusnya membina satu pasukan atau komuniti yang bersih dari salah laku dan rasuah.


Apabila berlakunya hakisan nilai integriti, maka terjadinya kepincangan dalam proses kerja terutamanya dalam bidang-bidang berisiko seperti projek pembangunan, perolehan atau pembelian, penguatkuasaan, perlesenan dan permit, kutipan hasil, pengurusan stor, tuntutan bayaran, pengurusan sumber manusia dan sebagainya. 

 

Di Malaysia, kerajaan telah pun memberi perhatian serius terhadap masalah integriti dan etika dalam kalangan kakitangan awam dengan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (National Anti-Corruption Plan-NACP) 2019-2023 di bawah inisiatif 2.1.5, yang mana mewajibkan sektor awam dan inisiatif 6.2.1 yang mewajibkan Badan Berkanun, Syarikat Milik Kerajaan, Syarikat Terhad Dengan Jaminan dan sektor swasta yang dikawal selia oleh badan kawal selia untuk membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (Organisational Anti-Corruption Plan-OACP). 

 

OACP merupakan satu dokumen dasar anti rasuah di peringkat organisasi yang bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan anti rasuah dalam organisasi. Walaupun dengan kewujudan akta khusus berkaitan rasuah iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) dengan hukuman yang lebih berat dengan menggantikan akta yang lama iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan pelbagai pelan integriti yang telah diwujudkan, masih berlaku pelbagai kesalahan jenayah melibatkan rasuah dan integriti dilaporkan. 

 

Persoalannya, apakah punca-punca berlakunya kemelut integriti di kalangan segelintir warga kerja ini?  

 

Integriti Diri


Lazimnya, identiti suatu organisasi menjadi rosak dan tercemar disebabkan oleh sikap tidak berintegriti oleh individu di dalam organisasi itu sendiri. Sesungguhnya, ini adalah satu cabaran utama yang mana ianya perlu ditangani melalui pemantapan etika dan integriti dalam sesebuah organisasi. Budaya etika dan integriti yang baik adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etika serta para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh berteraskan budi pekerti yang luhur. 


Faktor utama yang menyebabkan perlakuan tidak berintegriti wujud apabila seseorang individu itu terjebak di dalam perbuatan yang tidak bermoral seperti tamak, ingin cepat kaya dan bermewah-mewahan, berjudi sekali gus menyebabkan hutang yang banyak. 


Dalam hal ini, pegangan agama atau etika amatlah penting didalam diri setiap individu bagi memastikan segala rezeki yang diperolehi itu berpunca daripada sumber yang halal. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda;


“Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.” 


-Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).


Integriti Organisasi 


Kecemerlangan sesebuah organisasi adalah disebabkan oleh banyak faktor. Bagaimanapun, bidang kepimpinan dan pengurusan yang baik merupakan faktor utama kerana berasaskan andaian bahawa kepimpinan adalah penyebab kepada keberkesanan organisasi secara langsung. 

Dengan faktor persekitaran kita yang cepat berubah, terutamanya di dalam bidang teknologi dan ICT, peningkatan kepelbagaian dalam masyarakat seterusnya menjadikan cara pendekatan sesuatu organisasi dalam menyediakan perkhidmatan itu perlu berubah, tekanan ekonomi atau kewangan negara serta dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini sendiri merupakan elemen cabaran yang akan dihadapi dan ditangani oleh pemimpin di setiap organisasi. 


Pastinya pemimpin yang dapat mengadaptasi segala perubahan ini akan dapat membawa organisasi berkenaan dengan cemerlang. Oleh itu, mewujud dan membangunkan kepimpinan berintegriti dan beretika adalah penting kerana keruntuhan integriti diperingkat pengurusan boleh menyebabkan organisasi atau negara menanggung kerugian yang besar. 


Contohnya kes skandal air negeri Sabah yang mencatatkan jumlah rampasan mencecah jutaan ringgit. Kesan secara langsung dirasai oleh rakyat negeri Sabah terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mendapat fasiliti air yang sempurna selama ini. Contoh lain seperti kes penangkapan beberapa orang pegawai imigresen di empat negeri selepas disyaki terlibat dengan sindiket salah guna cop di sempadan negara. Ini boleh menyebabkan kesan negatif kepada negara di peringkat antarabangsa secara langsung. 


Naratifnya, integriti sesebuah organisasi akan terancam sekiranya terdapat kelemahan di dalam diri pemimpin itu sendiri atau wujud kelemahan di dalam sistem dan prosedur kerja seperti kurang pemantauan dan penyeliaan, tiada semak dan imbang, budi bicara tanpa kawalan, penurunan kuasa tanpa peraturan jelas, karenah birokrasi ataupun tiada kemaskini sistem mengikut arus perkembangan teknologi semasa. 


Faktor Lain


Kesungguhan untuk meningkatkan tahap integriti bukan terletak pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata sebaliknya ianya memerlukan komitmen semua rakyat terutamanya warga kerja agensi kerajaan. Rasuah dan salah guna kuasa di kalangan penjawat awam tidak boleh di toleransi sama sekali kerana penjawat awam yang dilantik boleh disifatkan sebagai penjaga sumber awam untuk rakyat. 


Pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah hendaklah menjadi agenda utama pemimpin di jabatan masing-masing. Mendapat kepercayaan rakyat merupakan satu penanda aras jabatan kerajaan berfungsi dengan baik. Hanya dengan menegakkan integriti pentadbiran, ekonomi dapat berfungsi dengan lebih baik sekali gus menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera. 


Selain itu, antara faktor penting lain dalam meningkatkan integriti ialah sokongan yang kuat daripada pemimpin politik. Sememangnya naluri manusia amat suka kepada kekuatan dan kekuasaan namun di sebalik semua itu perlu disulami dengan semangat integriti, kebenaran dan telus dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan. Sesungguhnya firman Allah SWT yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah Al-Anfal: 27) perlu dijadikan pegangan pada setiap pemimpin yang beriman. 


Sokongan awam juga penting dan dalam hal berkaitan integriti. Pihak media cetak dan elektronik perlu memainkan peranan yang aktif  dalam menerbitkan contoh-contoh kes rasuah yang melibatkan pegawai kanan awam atau ahli politik. 

Pihak media boleh memberikan perincian lengkap mengenai kesalahan dan hukuman yang dijatuhkan. Ini merupakan salah satu medium yang memberitahu kepada masyarakat akibat perlakuan rasuah dan memupuk iklim bahawa kerajaan serius dalam menangani segala isu berkaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa. 


Pepatah ada mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan “mencegah itu lebih baik daripada mengubati”. Apakah vaksin utama dan penting dalam kita menghadapi masalah berkaitan integriti ini? 


Pendidikan awal amat penting dalam menyampaikan pada masyarakat kita yang berbilang kaum akan keburukan kesan rasuah dan salah guna kuasa. 


Wujudkan silibus pelajaran berkaitan pencegahan rasuah, persatuan atau kelab beruniform di peringkat sekolah rendah. Semoga ada dikalangan mereka nanti yang kita dengar bercita-cita menjadi seorang pegawai SPRM dan mereka yang menjadi pewaris kepada pemerintahan negara ini akan di lengkapi dengan “antibodi” yang mampu melawan “virus” rasuah dan salah guna kuasa di masa hadapan serta mampu mendukung prinsip integriti secara berterusan. 


Kesimpulan


Memerangi isu berkaitan integriti, rasuah dan salah guna kuasa merupakan satu proses jangka panjang yang memerlukan sokongan daripadasemua pihak dan perlu diajarkan serta diperkuatkan di semua peringkat. 


Pelbagai hukuman dan pelan tindakan boleh diwujudkan namun apa yang lebih penting adalah pelaksanaan oleh individu-individu yang berada di dalam sistem itu sendiri. 

Kelompangan akan sentiasa wujud di dalam peraturan dan pertimbangan dalam menguatkuasakan undang-undang ciptaan manusia. 


Nilai-nilai murni kepimpinan politik, jabatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhan itu sendiri adalah sebagai tanda kecemerlangan kita menangani isu integriti ini. 


Dengan wujudnya titik keseimbangan, taraf hidup masyarakat secara keseluruhan akan mempengaruhi daya saing ekonomi negara di peringkat globalisasi. 


Akhir kata, sentiasa ingatlah kepada firman Allah SWT yang bermaksud; "Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap".

(Surah al-Israk, ayat 81).

Hit : 9220