Biografi Ketua Pesuruhjaya

Biografi

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Azam bin Baki telah berkhidmat selama 36 tahun bersama SPRM yang dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR).

Beliau dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan. Beliau mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya (UM) serta kelulusan Ijazah Sarjana dari Asia E-University.

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau bersama BPR/SPRM sejak tahun 1984, beliau telah melaksanakan tugas dalam pelbagai bidang antaranya sebagai Pegawai Penyiasat, Pegawai Perisikan, Pegawai Pendakwaan serta tugas sampingan dalam aktiviti pendidikan masyarakat. Beliau juga pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam SPRM, antaranya sebagai Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi). Beliau berpengalaman luas dalam penyiasatan kes-kes rasuah berprofil tinggi serta kes melibatkan pengubahan wang haram.

Beliau turut giat mempromosikan pencapaian baik SPRM di pelbagai platform antarabangsa antaranya melalui Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC), Economic Crime Agencies Network (ECAN) dan United Nations Convention against Corruption (UNCAC).

Atas pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan di BPR/SPRM, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaras dengan Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009.

Anugerah / Pingat
  • Pingat Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) - 2008
  • Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) - 2009
  • Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) - 2011
  • Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) - 2013
  • Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) - 2014
  • Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) - 2017
  • Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) - 2017
  • Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (S.M.W) – 2018
  • Darjah Kebesaran Pingat Panglima Setia Mahkota (P.S.M) -2021
  • Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) Datuk Seri Panglima – 2022
  • Darjah Seri Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (S.P.S.K.) Dato' – 2022
  • Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) Dato Sri – 2023
Hit : 80366