Anti-Bribery Management System (ABMS)

International Organization for Standardization (ISO) - iaitu badan penetapan standard antarabangsa - telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dinamakan Project Committee ISO (PC 278) pada tahun 2013. Jawatankuasa tersebut yang dianggotai oleh pakar lebih daripada 50 buah negara dan organisasi antarabangsa termasuk Malaysia telah bekerjasama untuk membangunkan ISO37001 Anti-Bribery Management System. Project Committee ISO (PC 278) telah berbincang melalui beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan di Spain (Madrid), France (Paris), USA (Miami), Malaysia (Kuala Lumpur) dan Mexico antara bulan Jun 2013 hingga Jun 2016. Seterusnya pada bulan Oktober 2016, ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (ISO 37001) telah dilancarkan.

Pada bulan Disember 2016, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Standard Malaysia (JSM) - sebagai sebuah badan yang memberikan pengiktirafan standard di Malaysia - untuk menerima pakai (adopt) ISO 37001 di Malaysia. Pada bulan Oktober 2017, pelancarannya telah dilaksanakan dan kemudiannya dikenali sebagai MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System (MS ISO 37001).

ISO 37001/ MS ISO 37001 ini adalah sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi secara sukarela bagi mengesan, mencegah, mengendalikan, menguatkuasa, menilai serta menambahbaik langkah pengurusan anti-rasuah secara berkesan. Ia juga merupakan satu instrumen yang fleksibel dan dapat disesuaikan dengan risiko rasuah yang mungkin dihadapi oleh mana-mana organisasi.

Standard ini direka untuk membantu organisasi bagi membuktikan kepada pihak berkepentingan (stakeholders) bahawa mereka mempunyai amalan dan inisiatif anti-rasuah yang mencukupi dan dilaksanakan sebaiknya.

SPRM merupakan schemeowner bagi program akreditasi badan pensijilan (Accreditation ofCertification Body / ACB Scheme) khusus untuk pensijilan MS ISO 37001 – Anti-Bribery Management System (ABMS) yang ditawarkan dan dikendalikan oleh Jabatan Standard Malaysia (JSM). Sebagai scheme owner, SPRM telah menetapkan beberapa keperluan tambahan (additional requirements) kepada badan-badan pensijilan yang berhasrat mendapatkan akreditasi daripada JSM di mana keperluan tambahan tersebut perlu dipenuhi dengan jayanya oleh badan-badan pensijilan yang menyertai program akreditasi tersebut. Keperluan tambahan yang ditetapkan oleh SPRM adalah sepertimana dalam dokumen Requirements for the Accreditation of Certification Bodies under the Anti-Bribery Management System (ABMS).Maklumat lanjut berhubung program akreditasi ini boleh didapati di portal JSM (www.jsm.gov.my).

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan atau masalah mengenai perkara ini, sila berhubung terus dengan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan seperti berikut:

Bil. Nama; No. Telefon; Emel (@sprm.gov.my)
 1. PKPj Mohamad Khairol bin Mohamad 03-8870 1327 khairol
 2. PsK Jane Flora anak Jingem 03-8870 1369 jflora
Hit : 30831
 
Perkhidmatan Pemeriksaan & Perundingan