SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menitahkan bahawa memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.
Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini melambangkan ketegasan Baginda memerangi ancaman rasuah malah perlu dijunjung oleh setiap lapisan masyarakat kerana rakyat yang bebas rasuah merupakan kayu pengukur dan teras kepada keutuhan serta kestabilan negara.
Sehubungan itu, sebagai agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti.
SPRM juga berharap agar semua rakyat Malaysia, khususnya keseluruhan jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM dalam menjunjung dan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.