Berita Menarik

AML SPRM, Institusi Kewangan Perkukuh Hubungan Perangi Rasuah Dan Pengubahan Wang Haram

Putrajaya, 2 Mei - Kerjasama di antara Institusi Pelaporan dan Agensi Penguatkuasaan adalah penting dalam usaha memerangi jenayah rasuah dan pengubahan wang haram di negara ini.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, penjenayah-penjenayah sentiasa mengadaptasi dan mengekploitasi kelemahan dalam sistem kewangan negara dan sentiasa mengubah taktik bagi mengelakkan pengesanan oleh agensi penguatkuasaan.

 

“Melalui kolaborasi ini sebuah sinergi akan berjaya dibentuk dimana sinergi ini berkeupayaan menjadi sebuah penghubung diantara agensi dalam perkongsian maklumat perisikan, perkongsian pandangan dan kaedah amalan terbaik (best practices),” katanya.

 

Penekanan itu dibuat melalui Program Compliance Officers Networking Group (CONG) yang dihadiri oleh pegawai-pegawai pematuhan daripada institusi-institusi kewangan negara, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif (JKE), wakil-wakil dari lain-lain institusi-institusi pelaporan dan juga rakan-rakan strategik SPRM.

 

Dalam sesi itu turut diadakan forum bertajuk "Cabaran Penguatkuasaan Dalam Menangani Jenayah Rasuah, Kewangan dan Pengubahan Wang Haram" yang dibarisi oleh Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Dato' Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengurus Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara Malaysia, Encik Ahmad Farhan Sharifudin; Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Strategik, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Encik Wan Mohd Nazri Wan Osman; dan Naib Pengerusi International Arbitration Centre (AIAC), Datuk Shireen Zaharah Muhiudeen.

 

SPRM turut berkongsi kaedah perisikan yang digunakan dalam membangunkan kes “Ops HACKS” yang membawa kepada kejayaan SPRM dalam membenteras sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

 

Turut diadakan Program Public-Private Partnership (PPP) yang membincangkan urusan bagi mendapatkan maklumat berhubung kes siasatan berprofil tinggi yang sedang dibangunkan oleh Bahagian AML SPRM.

 

Hadir sama wakil-wakil dari Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan wakil-wakil dari lima buah Institusi Kewangan.


Hit : 297