Berita Menarik

SPRM Sedia Kongsi Kepakaran Dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi

Putrajaya, 29 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia kongsi kepakaran dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam menjalankan tugas penyiasatan dan perisikan bagi memastikan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.

 

Kunjungan tersebut diketuai Ketua Pengarah JPDP,  Prof. Dr. Mohd Nazri Kama, dan disambut oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki.

 

Tan Sri Azam berkata, SPRM dipantau lima badan pemantau bebas  yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya iaitu Pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA) dibuat melalui peruntukan undang-undang. Manakala pembentukan Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dibuat secara pentadbiran.

 

“Kelima-lima badan khas ini diwujudkan bertujuan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam keseluruhan perjalanan SPRM,” katanya.

 

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Nazri merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Azam kerana sudi menerima kunjungan JPDP.

 

Menurutnya, kunjungan hormat ini secara tidak langsung dapat membuka ruang kepada JPDP untuk berkolaborasi dan menjalankan latihan dengan SPRM dalam khususnya bidang penyiasatan dan perisikan.

 

Tan Sri Azam berkata, SPRM juga menawarkan bantuan kepada JPDP sekiranya ingin membangunkan apa-apa modul dalam usaha memantapkan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) jabatan berkenaan dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan.

 

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin; dan Penasihat Undang-Undang Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM, TPj Rasidah Abdul Karim.

Hit : 494