Kolumnis@SPRM

Transformasi GIACC Kepada BPGN Mantapkan Agenda Banteras Rasuah Dan Pemantapan Tatakelola

Datuk Abd Aziz Aban
Pengarah
Bahagian Perencangan Governans Nasional (BPGN)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

SELARAS usaha memperkemas serta memperkasa gerakan pemantapan tatakelola, pengukuhan integriti dan antirasuah dalam pentadbiran Kerajaan, bermula 18 April 2023, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah diserapkan sebagai salah satu bahagian di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN).

Transformasi GIACC kepada BPGN ini selaras keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Disember 2022 bagi membolehkan setiap usaha pencegahan rasuah dan penguatkuasaan antirasuah dapat diselaraskan agar seiring dengan matlamat SPRM untuk memerangi rasuah membabitkan perolehan awam, penguat kuasa undang-undang serta 'grand corruption', yang  merujuk kepada rasuah berskala besar yang berprofil tinggi termasuk berkepentingan awam.

Ia juga sebagai tanda cakna dan komitmen kerajaan untuk membasmi serta mengekang rasuah yang telah menyebabkan kerugian dana kerajaan yang mencecah berbilion ringgit sekali gus memastikan Malaysia bebas daripada rasuah dengan amalan kepada ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti.

Dalam menggerakkan usaha memantapkan tatakelola ini, sebanyak enam (6) fungsi GIACC turut diserap ke BPGN iaitu menasihati Kerajaan, menyelaras pelaksanaan inisiatif, menilai tahap keberkesanan, merancang strategi, memantau dan melapor dapatan tindakan berkaitan governans, integriti dan antirasuah diteruskan BPGN bagi memastikan kesinambungan momentum pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

BPGN komited tingkat CPI Malaysia di kedudukan 25 teratas dunia

Selaras mandat diberikan, BPGN juga komited untuk memastikan negara mencapai kedudukan ke-25 teratas dunia pada Prestasi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun.

Dalam usaha memastikan sasaran itu tercapai, satu sesi perbincangan meja bulat berhubung Pasukan Khas CPI Malaysia diadakan pada Disember tahun lalu, bagi membincangkan terma rujukan, struktur dan hala tuju pasukan berkenaan.

Cadangan struktur dan terma rujukan Pasukan Khas CPI Malaysia bakal dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada suku pertama tahun ini sebagaimana sasaran dibentangkan Perdana Menteri yang ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12.

BPGN optimis dalam mencapai hasrat kerajaan ini susulan kedudukan Malaysia dalam CPI 2023 yang kini berada di kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding ke-61 pada 2022.

Peranan BPGN dalam NACP

Bagi melahirkan negara bebas rasuah, BPGN memainkan peranan penting dalam merangka, memantau dan menilai Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 – 2023 serta Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028 yang menggantikan NACP.

NACP yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 merupakan merupakan iltizam yang ditunjukkan oleh Malaysia selari dengan semangat yang terkandung dalam United Nations Convention against Corruption (UNCAC) yang menetapkan bahawa negara anggota hendaklah membangunkan dasar dan strategi antirasuah.

NACP adalah bersifat merentas masa, ‘living document’, dan mengambil kira dasar dan keperluan semasa. Abd Aziz berkata, pada 2021 semakan semula separuh penggal ke atas NACP dilaksanakan, di mana baki 86 inisiatif dinilai.

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 111 inisiatif dipantau oleh BPGN. Sehingga 31 Disember 2023, secara keseluruhan mencapai sebanyak 77 peratus penyiapan sehingga ke peringkat output (pengeluaran/pembaharuan sesuatu dasar) iaitu 85 inisiatif walaupun negara berdepan masalah pandemik COVID-19.

BPGN kekal komited dalam pemantauan inisiatif NACP dan bersedia menggalas tanggungjawab baharu untuk menyelaras rancangan berikutnya, iaitu NACS 2024- 2028 yang bakal dilancarkan pertengahan tahun ini.

BPGN Perkasa NACS

Pada 6 Julai 2023, mandat bagi pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 diperolehi bagi menggantikan NACP selaras keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

JKKMAR kini telah diperkasa fungsinya dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Tatakelola Nasional (JKKTN).

Menerusi mandat baharu ini, pengumpulan cadangan strategi dan idea pembaharuan yang bakal dirangka telah dilaksanakan dengan harapan ia dapat memberi impak dan hasil yang signifikan kepada negara dalam konteks pembanterasan rasuah di Malaysia.

Semakan ke atas sorotan literatur dalam konteks rasuah di Malaysia juga dilaksanakan untuk mengenal pasti strategi intervensi yang bersesuaian kelak.

Dokumen NACS yang bakal diterbitkan ini akan menggariskan hala tuju dan komitmen negara dalam perjuangan membanteras rasuah, mengukuhkan tatakelola baik dan nilai integriti untuk tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2024 sehingga 2028.

Misi NACS ini juga untuk menginstitusikan prinsip tatakelola, integriti serta antirasuah melalui pengurusan dasar yang strategik, efektif dan holistik meletakkan fokus 2024 kepada tiga perkara.

Katanya, fokus utama adalah berhubung gerakan pemantapan tatakelola nasional dengan penubuhan jawatankuasa tatakelola di peringkat persekutuan, negeri dan kementerian serta jabatan  termasuk agensi kerajaan.

Ini termasuk fokus berhubung inisiatif garis panduan pengendalian sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam urusan Kerajaan, serta pembangunan Pelan Tatakelola Baik Malaysia (MyGovernance).

Hit : 868