Berita Menarik

Pengukuhan Organisasi Penting Dalam Melahirkan Pegawai SPRM Yang Berkualiti

Pulau Pinang, 19 Februari - Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Mesyuarat dan Bengkel Pengukuhan Organisasi SPRM Bil 1/2024: SPRM Negeri yang telah diadakan di Vouk Hotel Suites di sini, pada 13 hingga 15 Februari lalu.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi berkata, bengkel yang diadakan ini merupakan platform untuk mengalakkan percambahan idea dan pendapat berkaitan isu dan cabaran serta cadangan keperluan pengukuhan organisasi SPRM agar boleh terpakai untuk tempoh lima tahun akan datang selaras hala tuju SPRM.

 

“Naziran Perjawatan dan Bengkel Pengukuhan Organisasi SPRM Negeri ini perlu mencapai objektifnya sebagai proses yang sistematik untuk menilai dan mengenal pasti keperluan sumber tenaga manusia yang optima dalam sesebuah organisasi bagi menjadikan perkhidmatan awam lebih produktif dan kompeten.

 

“Pengukuhan organisasi ini juga perlu dilaksanakan secara berterusan ke arah melahirkan dan mempertingkatkan kepimpinan pegawai  SPRM yang berkualiti,” katanya.

 

Katanya, pelaksanaannya adalah penting bagi memastikan kekuatan seluruh anggota SPRM sentiasa relevan dalam menghadapi cabaran, fokus dan berterusan mempertingkatkan inisiatif-inisiatif terhadap keberhasilan di dalam penyiasatan serta pencegahan.


Selain itu, hasil percambahan idea dan pandangan melalui mesyuarat dan bengkel ini turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan pengukuhan organisasi antaranya penyeragaman struktur organisasi SPRM Negeri melalui pewujudan model struktur SPRM Negeri yang akan diperhalusi dan dikaji secara terperinci untuk mendapatkan persetujuan Pengurusan Tertinggi SPRM.


Turut hadir Pengarah BKP SPRM, Tuan Mohammad Shahizan Abdullah serta Pengarah-Pengarah SPRM Negeri.

 


Hit : 477