Berita Terkini

TPj Tuan Ruslan Tuan Mat Bersara Wajib, 28 Tahun Berkhidmat Bersama SPRM

Georgetown, 19 Januari – Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, TPj Tuan Ruslan Tuan Mat mula bersara wajib 21 Januari 2024 setelah 28 tahun berkhidmat bersama Suruhanjaya ini.


Beliau diraikan dalam Majlis Persaraan dan Serah Terima Tugas yang diadakan di Kompleks SPRM Pulau Pinang, di sini hari ini.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato' Sri Ahmad Khusairi Yahaya dalam ucapannya berkata, SPRM amat menghargai segala jasa dan sumbangan TPj Tuan Ruslan dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada SPRM.


"TPj Tuan Ruslan sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Penjara Malaysia dan kemudian menyertai Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1996 dengan jumlah keseluruhan tempoh perkhidmatan selama 33 tahun. 


“Ini merupakan satu pengorbanan yang tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit tetapi kita nilaikan dengan doa agar beliau diberikan kesihatan, keberkatan dan kebahagiaan selama tempoh persaraan ini. Syabas dan tahniah kerana sepanjang menerajui SPRM Pulau Pinang, pencapaian beliau amat cemerlang berkat daripada sokongan yang diberikan oleh ahli keluarga dan seluruh warga kerja SPRM,” katanya.


Sementara itu, TPj Tuan Ruslan dalam ucapannya berkata, sepanjang berkhidmat selama 28 tahun bersama SPRM akan menjadi kenangan terindah buat dirinya kerana memperolehi banyak pengalaman dan pengajaran hidup.


Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada barisan Pengurusan Tertinggi SPRM atas segala sokongan, bimbingan dan kerjasama dalam melaksanakan amanah yang diberikan.


“Saya juga mendoakan agar SPRM terus cemerlang dalam membanteras jenayah rasuah dan saya berharap hubungan baik ini tidak terhenti di sini. Kita semua adalah keluarga. Jutaan terima kasih kepada semua,” katanya.


Pada majlis ini juga turut diadakan sesi serah terima tugas kepada Timbalan Pengarah Operasi SPRM Pulau Pinang, KPKPj Mohd Shukor Mahmud yang menjalankan tugas Pengarah SPRM Pulau Pinang selain acara simbolik “clock out” yang menandakan tamatnya perkhidmatan TPj Tuan Ruslan bersama SPRM.


Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman; isteri Pengarah SPRM Pulau Pinang merangkap Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM Pulau Pinang, Puan Rosliza Ismail serta Pengarah-pengarah Negeri SPRM.

Hit : 1108