Garis Masa Kes

OP Bola-Bola

Siasatan SPRM

Pada Jun 2021, satu operasi dinamakan Op Bola-Bola telah dilakukan berhubung isu rasuah melibatkan syarikat pembekal SR Express Sdn. Bhd. dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan tender perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada KDN bernilai RM42,450,000 pada tahun 2019.

Tangkapan pertama telah dibuat terhadap Mohd Shazwan bin Shahruddin yang merupakan pemilik syarikat dan kemudian tangkapan dibuat terhadap beberapa pegawai Bahagian Perolehan KDN kerana meminta dan menerima rasuah daripada syarikat SR Express Sdn Bhd bagi membantu membekalkan maklumat harga siling dan membantu mendapatkan tender.

Kesemua mereka telah disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sepanjang tempoh operasi, SPRM telah melakukan tangkapan terhadap seramai lima (5) orang bagi membantu siasatan serta membuat sitaan terhadap akaun-akaun yang berkaitan dengan kes.

Sejumlah RM5,121,888.93 wang tunai dan wang dalam akaun bank telah disita daripada suspek-suspek dan syarikat berkaitan dengan kes ini.

Pertuduhan dan Perbicaraan

3 Ogos 2022 – Mohd Shazwan bin Shahruddin telah dituduh sebanyak lapan (8) pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Kuala Lumpur atas kesalahan Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009 kerana menerima rasuah RM568,000.00.

16 Ogos 2022 – Mohd Shazwan bin Shahruddin sekali lagi dituduh sebanyak dua (2) pertuduhan di Mahkamah Sesyen 1 Shah Alam atas kesalahan Seksyen 16 (a)(A) ASPRM 2009 kerana menerima rasuah RM1.1 juta.

7 Februari 2023 – Hasil daripada Rundingan Akaun (plea bargain), tertuduh telah membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan Pilihan Keempat (4) bernilai RM50,000.00 dan pertuduhan Pilihan Kelima (5) bernilai RM30,000.00 di bawah Seksyen 25 (1) ASPRM 2009. Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Kuala Lumpur memutuskan bahawa tertuduh didapati bersalah dan disabitkan bagi kedua-dua pertuduhan ini.

Tertuduh dikenakan hukuman denda sebanyak RM90,000.00 sekiranya gagal dibayar, hukuman pemenjaraan selama Lapan (8) bulan bagi setiap satu pertuduhan. Mahkamah juga memerintahkan bahawa kesemua wang berjumlah RM1,097,922.16 yang disita oleh SPRM dirampas dan dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia. Mahkamah juga telah mengambilkira pertuduhan-pertuduhan berbaki selaras dengan Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

21 Februari 2023 – Mahkamah Shah Alam telah memerintahkan wang dalam akaun bank yang telah disita iaitu sebanyak RM1juta dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia melalui SPRM.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 15 Ogos, 2023.


Status Kes

Kes Selesai. Tertuduh telah mengaku salah dan dikenakan hukuman denda serta wang dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.


Laporan Media

Kenyataan Media

Tiada Kenyataan Media SPRM


Hit : 3753