Garis Masa Kes

OP Hacks: Sindiket Pengeluaran PLKS Palsu

Siasatan SPRM

Pada 29 Oktober 2020, satu Kertas Siasatan telah dibuka untuk menjalankan siasatan ke atas kemasukan dan pengeluaran wang yang banyak dan mencurigakan bagi akaun-akaun sasaran.

Ini adalah susulan dari siasatan awal di mana satu permohonan di bawah Seksyen 48 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) pada 18 Mac 2020, telah dihantar kepada pihak bank untuk semakan kewangan akaun-akaun target yang mencurigakan.

Op Hacks berjaya melumpuhkan sindiket terbesar dalam pengeluaran pelekat palsu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Tangkapan termasuk ahli sindiket penggodaman sistem MyIMMs dan pencetakan PLKS, pegawai JIM dan staf syarikat pembekal perisian sistem MyIMMs.

Siasatan diteruskan dengan mengambil keterangan seramai 128 saksi yang terdiri daripada pakar forensik (komputer, telefon dan pakar dokumen PLKS), pemilik syarikat yang digunakan untuk membuat permohonan PLKS, pemilik ID sistem MyIMMs (pegawai JIM), pegawai sumber manusia JIM, pakar prosedur permohonan PLKS dan saksi wakil syarikat/peguam yang menguruskan pembelian/penjualan aset suspek.

Pada 17 April 2017 hingga 28 Julai 2021,sitaan telah dibuat terhadap aset-aset milik suspek termasuklah jam tangan, laptop, kereta, wang tunai, wang di bank, tanah dan rumah. Kesemua aset-aset yang disita dianggarkan berjumlah RM34.3 juta.

Berdasarkan siasatan, sindiket telah menggodam dan mengoperasikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIIMs) di luar waktu pejabat JIM dengan bantuan pegawai Imigresen dan vendor MyIIMs. Suspek-suspek telah mengklon server data MyIMMs, seterusnya, menghasilkan PLKS palsu. Pegawai JIM yang bersekongkol dalam pengeluaran PLKS palsu dipercayai menerima bayaran rasuah dari sindiket. PLKS palsu tersebut dipercayai dijual dengan harga RM5,000 hingga RM6,000 berbanding harga sebenar iaitu kira-kira RM2,100 mengikut levi.

Kegiatan sindiket itu telah mengakibatkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing. Operasi ini telah berjaya mencegah ketirisan, mengembalikan hasil kerajaan serta melindungi keselamatan negara.

Pertuduhan dan Perbicaraan

10 Mac 2022 hingga 31 Mac 2022 — Lima (5) individu termasuk isteri salah seorang suspek telah dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Pertuduhan telah dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Mahkamah Sesyen Kuantan dan Mahkamah Sesyen Terengganu.

Pihak Mahkamah membenarkan kesemua pertuduhan terhadap suspek dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi dibicarakan bersama. Sebanyak 114 pertuduhan dikenakan terhadap kesemua suspek melibatkan anggaran berjumlah RM26.78 juta.

1 April 2022 hingga 19 Ogos 2022 Pengurusan Kes di Mahkamah Sesyen Jenayah 14, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (Penyerahan dokumen Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah). Peguam wakil kesemua tertuduh telah menghantar representasi cadangan tawaran bayaran kompaun di bawah Seksyen 92 AMLATFPUAA 2001.

22 September 2022— Sehubungan itu, sebutan kes bagi tidak meneruskan pertuduhan dan pendakwaan terhadap kesemua tertuduh, Mahkamah Sesyen Jenayah 14 telah membenarkan kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan dari semua 114 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001. Kesemua tertuduh dikenakan tindakan punitif membayar kompaun sebanyak RM10,825,699.82 mengikut peruntukan di bawah Seksyen 92 AMLATFPUAA 2001.

Sitaan aset serta keputusan Mahkamah untuk mengenakan kompaun telah berjaya melumpuhkan sindiket dan memulangkan dana kepada tabung kerajaan.

Maklumat ini telah dikemaskinikan pada 4 Julai, 2023

Hit : 3201