Berita Menarik

Bekas anggota Rela didakwa beri rasuah, salah guna wang tuntutan Esszone

Sandakan: Seorang bekas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Dua Sandakan di sini, hari ini atas pertuduhan memberi rasuah serta menyalahgunakan lebihan wang tuntutan elaun penugasan kawalan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) berjumlah RM9,542.40.

Tertuduh, Labib Hanif Ali, 30 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Bagi pertuduhan pertama, Labib menafikan memberikan RM1,622.40 kepada Georgina Tanggok yang juga penolong akauntan pada 10 Julai 2018 bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Negeri Malaysia di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah, Sulaman.

Ia bagi tujuan memperdayakan prinsipal Timbalan Pengarah Rela Negeri Sabah Henra Reman, berkenaan butiran matan palsu mengenai Senarai Pengesahan Kehadiran bertarikh 4 Jun 2018 hingga 1 Julai 2018 yang mana sebenarnya tertuduh tidak hadir bertugas pada ketika itu.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima ganda jumlah atau nilai butir matan palsu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Labib dituduh menyalahguna RM7,920 yang juga merupakan wang lebihan tuntutan elaun penugasan kawalan di Esszone bagi Jun.

Kesalahan itu dilakukan pada Julai 2018 bertempat di Pusat Khidmat Komuniti Rela Kampung Batu Putih, Sandakan.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 403 Kanun Seksaan (Akta 574).

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang daripada enam bulan penjara dan tidak lebih daripada lima tahun dengan sebat dan denda.

Mahkamah menetapkan 13 Januari 2022 untuk sebutan semula kes dan membenarkan Labib diikat jamin RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Rekhraj Singh manakala Labib tidak diwakili peguam.

Sumber : Utusan Malaysia
Hit : 1493