Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita dapat bersua di alam maya ini. 

Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Datang kepada semua pengunjung portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Portal SPRM merupakan wadah terbaik bagi mendekati masyarakat umum selain menjadi medium utama dalam menyampaikan maklumat penting mengenai SPRM.

Selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu yang dilantik pada 1 Ogos 2016, saya berasa amat bangga dan berterima kasih kepada semua pihak atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan secara berterusan bagi memastikan suruhanjaya ini kekal unggul dan disegani sehingga ke pelusuk dunia.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada YBhg Tan Sri Abu Kassim Mohamed, mantan Ketua Pesuruhjaya  SPRM, di atas kepimpinan dan sumbangannya sepanjang beliau berkhidmat di SPRM.

Saya sedia maklum bahawa portal SPRM telah dianugerahkan penarafan lima bintang pada tahun 2015 oleh Malaysia Development Corporation dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) selain menerima dua anugerah daripada Sijil Pengiktirafan Pelaksanaan Cemerlang ICT Agensi iaitu Excellence In Analytic Business Operation Award dan Excellence In Analytic Employee Innovation Award. Justeru itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat menyumbang kepada kejayaan dan pencapaian yang begitu cemerlang kepada SPRM. 

Seperti yang diketahui umum, alam maya kini telah berkembang menjadi medium komunikasi dan perkongsian maklumat yang utama kepada segenap lapisan masyarakat, khususnya buat generasi baharu pada masa ini. Oleh yang demikian, SPRM akan berusaha bagi memastikan portal ini menjadi pemudah cara dan pilihan utama kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dengan cara yang mudah, cepat dan berkesan. 

Portal ini akan menjadi pemangkin dan platform strategik bagi memastikan tiga strategi utama kepada teras kerja ataupun core business SPRM iaitu Operasi, Pencegahan dan Pendidikan disampaikan dan diperjelaskan kepada masyarakat secara lebih efektif. Pemahaman masyarakat terhadap Ketiga-tiga teras kerja SPRM ini adalah penting dan kritikal bukan sahaja bagi memastikan masyarakat jelas mengenai fungsi dan peranan SPRM secara menyeluruh, tetapi ianya juga penting bagi memastikan bahawa masyarakat faham serta yakin bahawa SPRM adalah bersama rakyat dan akan terus berjuang membela rakyat dalam isu-isu rasuah dan salah guna kuasa.

Portal SPRM juga telah dibangunkan dalam versi bahasa Mandarin bermula tahun 2015. Kepekaan SPRM terhadap pentingnya maklumat disampaikan kepada rakyat yang berbilang kaum dan bahasa ini adalah sesuatu yang amat dibanggakan dan harus dipuji. Ini menunjukkan bahawa SPRM bukan sahaja menggunakan medium alternatif secara efektif dan menyeluruh malah ianya merupakan suatu organisasi yang ikhlas dalam pendekatannya bagi mengeratkan lagi hubungan di antara masyarakat Tiong Hua dengan SPRM. 

Melalui portal SPRM ini saya sesungguhnya berharap agar masyarakat akan lebih memahami tugas, peranan dan cabaran yang dihadapi oleh SPRM dalam melaksanakan usaha-usaha pembenterasan rasuah. Ingin saya mengingatkan diri saya serta semua pegawai SPRM supaya melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh sabar, tabah dan berintegriti. Sememangnya tugas yang digalas oleh suruhanjaya ini amatlah berat, dengan itu, besarlah harapan saya agar suruhanjaya ini diberikan sokongan dan dokongan oleh masyarakat serta ruang untuk terus melaksanakan tugasnya dengan bebas, telus dan profesional.

Sekian, wabillahitaufik wal hidayah.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
55
Semalam
55
Minggu Ini
157
Bulan Ini
997

Keseluruhan
3429162