PENGURUSAN RISIKO RASUAH KUKUHKAN UNIT INTEGRITI

April 2015

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Anti-Corruption & Ethics (ACE) Centre telah mengendalikan beberapa siri bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) untuk semua Unit Integriti di semua kementerian, badan berkanun dan syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC). Ini merupakan sabahagian daripada usaha SPRM memerangi rasuah.

Pasukan Enterprise Risk Management (ERM) yang diketuai oleh Raja Khan Raja Ahmad, bersama fasilitator Teh Chau Chin dan Ahmad Ariff Mahidin telah dijemput untuk membantu Unit Integriti Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengendalikan bengkel CRM yang pertama di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bengkel bersiri ini merupakan tindakan susulan hasil daripada keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) oleh YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Keputusan telah dibuat supaya unit integriti di semua kementerian hendaklah menjalankan penilaian risiko rasuah.  

Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mengarahkan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi SPRM untuk menganjurkan lebih banyak latihan penilaian risiko untuk ketua-ketua unit integriti, di mana pasukan ERM juga akan menerapkan penilaian risiko rasuah dalam latihan dan membantu bengkel perbincangan risiko.

Tujuan latihan dan bengkel yang melibatkan ketua bahagian MOE adalah untuk mengenal pasti risiko rasuah kritikal di setiap bahagian MOE. Risiko yang dikenal pasti disusun mengikut tahap risiko tinggi, ketara, sederhana atau rendah dan seterusnya membentuk pelan tindakan risiko bagi menangani risiko tersebut.

Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) merupakan salah satu komponen utama rangka kerja pencegahan rasuah SPRM yang boleh digunakan untuk sektor awam dan swasta. Ia membantu mengenal pasti kelemahan struktur yang membuka peluang kepada berlakunya rasuah, menyediakan rangka kerja untuk mengenal pasti faktor risiko dan penyelesaiannya, serta menerapkan pencegahan rasuah dalam rangka kerja tadbir urus yang mantap.  

Kaedah pengurusan risiko adalah yang paling sesuai untuk memastikan risiko dikenal pasti dan ditangani dengan berkesan.

“Risiko rasuah wujud di mana-mana sahaja dan mempunyai potensi melibatkan pihak berkepentingan dalaman atau luaran.

“Sehubungan itu, agensi bertanggungjawab untuk memastikan risiko rasuah dikurangkan ke tahap minima dengan bantuan dan nasihat daripada SPRM,” kata Raja Khan Raja Ahmad, ketua pasukan SPRM sempena sesi fasilitasi dengan MOE.

Wakil-wakil lain Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan dan ACE Centre yang hadir kursus dengan MOE selama 2 hari termasuk Zakiah Hassan dan Datin Radhika Nandrajog.

Wan Yusoff Wan Ibrahim, Ketua Pegawai Integriti MOE dan Teh Kamsiah Ahamd Amiruddin @ Amir, Pengurus Audit Dalaman MOE telah mengetuai perbincangan dan berkongsi pandangan mereka berkaitan dengan risiko rasuah serta mencadangkan pelan tindakan bagi menangani risiko tersebut.

Semua bahagian MOE telah membentangkan kawasan berpotensi berisiko rasuah, sementara pasukan ERM memberi nasihat dan pandangan untuk menutup jurang dan kekurangan serta peluang kepada perlakuan rasuah. Pelan tindakan dibentuk untuk menangani risiko rasuah daripada berlaku atau menyelesaikan masalah yang telah berlaku dalam organisasi.

Unit Integriti MOE diberi tugas untuk memastikan risiko rasuah ditangani dengan efektif. Selain itu, unit Integriti MOE juga perlu mengukuhkan maklumat kementerian berkaitan dengan risiko rasuah.

Pasukan SPRM telah menjalankan laithan dengan kementerian yang lain, termasuk Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan serta dalam jabatan SPRM sendiri.

Pasukan ERM SPRM berfungsi di bawah Seksyen Sektor Swasta, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan.

 

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
24
Semalam
27
Minggu Ini
307
Bulan Ini
1043

Keseluruhan
3426199