PUTRAJAYA, 27 Ogos 2018 - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju memantapkan lagi kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuhkan elemen integriti dan antirasuah dalam sistem pendidikan negara.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik berkata, tindakan tegas dalam melatih golongan pelajar agar membenci rasuah dengan menerapkan nilai integriti yang tinggi dalam sistem pendidikan negara adalah amat penting.

“Perkara ini perlu dilakukan dalam membentuk jati diri pelajar bermula di peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull di Pejabat Menteri Pendidikan di sini, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Sri Mohd Shukri berkata, sudah tiba masanya kita mengkaji semula penerapan eleman integriti dalam sistem pendidikan negara dan melihat kejayaan beberapa negara lain seperti Finland dan Jepun yang telah berjaya mewujudkan nilai integriti yang tinggi dalam kalangan para pelajar mereka.

“Kita perlu menjadikan negara-negara ini sebagai panduan kepada inisiatif yang bakal kita dilaksanakan,” ujar beliau.

Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, TPj Tuan Ruslan Tuan Mat dan pegawai-pegawai kanan SPRM.

Pada sesi pertemuan ini juga, Dato’ Shamshun Baharin turut menyampaikan taklimat berkaitan inisiatif pencegahan rasuah dan cadangan penambahbaikan bagi memantapkan lagi elemen integriti dan antirasuah sedia ada dalam sistem pendidikan.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
25
Semalam
47
Minggu Ini
25
Bulan Ini
988

Keseluruhan
3432151